Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Peribahasa ini cukup tepat menggambarkan rezeki luar biasa dua pemegang terawal ‘Golden Ticket’ kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya yang membawa pulang hadiah utama berupa emas seberat 1 kilogram (KG) tajaan GB Gold Malaysia, dianggarkan bernilai RM500,000.
Muhammad Abdul yang dikenali sebagai Apek, seorang pelajar yang membeli wafer emas edisi terhad GB Gold x Bulan Bintang dan Muhammad Syafiq Abdullah, seorang juruteknik yang membeli produk Bulan Bintang tidak menyangka pembelian dengan harga serendah RM200 mampu mengubah kehidupan mereka.
Berasal daripada keluarga sederhana, kemenangan ini membawa makna yang besar buat Apek dan Syafiq.
Balas jasa ibu bapa
Bagi Apek, hadiah yang dimenanginya adalah peluang untuk membalas jasa kedua ibu bapanya yang berkorban demi membesarkannya.
“Kalau ada rezeki, saya mahu bawa mak dan ayah menunaikan haji tahun ini kerana mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Saya bukan datang dari keluarga senang. Kehidupan kami sederhana dan kemenangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga serta merealisasikan impian mereka untuk ke Makkah,” katanya.
Gaji masuk, duit habis
Apek turut mengimbau kembali kesusahan hidup keluarganya dahulu, yang mana bapanya terpaksa berjimat cermat demi memastikan anak-anak cukup makan dan bersekolah.
“Kalau diimbas kembali kesusahan dulu, setiap kali gaji masuk, sekejap sahaja duit habis untuk keperluan keluarga. Kadang-kadang, saya sendiri bingung bagaimana mereka mampu membesarkan saya dan adik-beradik lain.
“Tapi Alhamdulillah, mereka berjaya membesarkan kami dengan baik dan kini tiba masanya untuk saya membalas jasa mereka,” katanya.
Rezeki nak kahwin
Sementara itu, Syafiq yang juga pemegang Golden Ticket Bulan Bintang terawal baru sahaja bertunang pada Februari lalu melihat kemenangan ini sebagai rezeki yang datang tepat pada waktunya.
“Saya berhajat untuk berkahwin pada penghujung tahun ini dan kemenangan ini adalah rezeki untuk persiapan perkahwinan saya. Selain itu, saya juga mahu membawa ibu ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah,” katanya dengan penuh syukur.
Sementara itu, pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, melahirkan rasa terharu apabila mengetahui niat murni kedua-dua pemenang untuk menggunakan hadiah kemenangan mereka ke arah kebaikan.
“Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Dengan niat yang sebegini baik, Insya-Allah, Allah pasti akan memudahkan segala urusan mereka.
“Kemenangan ini bukan sekadar rezeki, tetapi juga peluang untuk mereka membahagiakan insan tersayang,” katanya.
Mereka ditemui pada majlis pengumuman pemenang hadiah utama kempen Terrrrpaling Raya Bulan Bintang di cawangan GB Gold Shah Alam, baru-baru ini.
Turut hadir bersama ialah pengasas GB Gold, Shahfizzam Moideen yang dikenali sebagai Tuan GB.
Saban tahun kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya terus menjadi fenomena dengan pelbagai ganjaran menarik buat para pelanggannya.
Pada edisi kali ini, Bulan Bintang bekerjasama dengan GB Gold Malaysia yang menaja emas seberat 1 KG yang dianggarkan bernilai RM500,000.
Terdahulu, kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya turut meraikan Muhammad Amirul Akmal Ishak, 24, yang menjadi pemenang pakej menunaikan Haji.
Jejaka berasal dari Kedah itu menerima pakej menunaikan Haji di tanah suci Makkah yang bernilai RM80,000 tajaan jenama produk dandanan lelaki, Kahf.
Kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya tahun ini menyaksikan kolaborasi Bulan Bintang bersama jenama tersohor seperti GB Gold, Kahf, Hausboom, AirAsia dan banyak lagi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.