Airbus ialah pengeluar pesawat penumpang terbesar di dunia. Inovasi dalam sistem kawalan FBW dan penggunaan bahan komposit menjadi asas kepada Airbus menjadi kuasa besar dunia aeronautik. Minggu ini ketika acara Airbus Summit 2025, mereka berkongsi konsep pesawat yang akan dibina di masa hadapan.

Pesawat masa depan menurut Airbus akan terbang dengan lebih cekap bagi menjimatkan penggunaan bahan api dan sekaligus mengurangkan pencemaran udara. Inovasi pertama terletak pada rekaan sayap yang mengambil inspirasi daripada sayap burung. Sayap yang lebih panjang dan nipis akan dapat mengurangkan rintangan udara. Airbus ingin menggunakan sayap yang boleh dilipat supaya pesawat masih boleh digunakan di lapangan terbang sedia ada tanpa sebarang isu.
Seterusnya ialah Airbus bekerjasama dengan CFM untuk menghasilkan enjin turbofan Revolutionary Innovation for Sustainable Engines (RISE) dengan rekaan kipas terbuka. Ini akan mengoptimumkan aliran udara yang menurut Airbus dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan pencemaran CO2 sehingga 20%. Mereka menyasarkan ujian enjin RISE pada pesawat A380 sebelum berakhirnya dekad ini.

Bahan binaan pesawat pula akan berubah daripada penggunaan Plastik Diperkukuh Gentian Karbon (CFRP) kepada Komposit Polimer Termoplastik Diperkukuh Gentian Karbon (CFRTP). Pengurangan berat pesawat dapat dinikmati dengan penggunaan bahan CFRTP. CFRTP juga lebih mudah dibentuk, dikilangkan dan dikitar semua di akhir hayat pesawat.
Akhir sekali pesawat masa depan Airbus akan menggunakan sistem kuasa hibrid dalam bentuk pek bateri keadaan pepejal. Sistem elektrik pesawat akan menggunakan pek bateri ketika di udar dan juga operasi di lapangan terbang. Penggunaan sistem hibrid dijangka akan mengurangkan penggunaan bahan api dan pencemaran sehingga 5%.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.