Pernah Dituduh Tak Puasa, Tony Eusoff Dipaksa Tunjuk Kad Pengenalan! – “Saya Agak bodoh, Sepatutnya Polis Saja Yang Boleh Minta IC.”

Pelakon Tony Eusoff berkongsi pengalaman dirinya pernah ditegur seorang individu yang menyangka dia tidak berpuasa hanya kerana dilihat makan di siang hari.

Malah, individu berkenaan turut berkeras mahu melihat kad pengenalannya sebagai bukti bahawa Tony bukan seorang Muslim.

“Perkara seperti itu pernah terjadi ketika saya belum mula berlakon pada sekitar tahun 2001.

“Waktu itu, saya baru bekerja dengan sebuah syarikat dan perlu mengikut bos saya outstation ke Kelantan dan bos berbangsa India.

“Kami singgah di sebuah kedai nasi lemak di Gua Musang untuk makan tengah hari. Tiba-tiba datang seorang pakcik.

“Dia tidak tegur bos saya kerana memang jelas dia berbangsa India. Tapi, dia datang kepada saya dan minta saya tunjukkan kad pengenalan.

“Ketika itu, saya agak bodoh. Sepatutnya hanya polis sahaja yang boleh minta IC. Orang lain tiada hak.

“Tapi sebab saya masih muda, saya terus berikan sahaja. Bila dia tengok, dia terus jeling saya,” katanya kepada MH.

Tony berkongsi pengalaman ini ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran TV3 yang berlangsung di Lado By The Lake, Shah Alam, baru-baru ini.

Seru Tak Buat Tanggapan Melulu

Berkongsi lanjut, pelakon One Cent Thief 2 turut memohon jasa baik ramai agar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang tanggapan dan menegur orang lain dengan adab yang baik.

“Tak baiklah macam tu. Tindakan dia nak periksa kad pengenalan saya pun dah salah. Janganlah main serkap jarang sahaja.

“Tanyalah dahulu dengan baik. Nak tegur pun kena ada adab. Jangan main tampar pula,” ujarnya lagi.

Pernah Berpuasa

Dalam pada itu, Tony turut mendedahkan dia pernah berpuasa, terutamanya ketika menjalani penggambaran bersama rakan-rakan Muslim.

“Kadang-kadang dalam set penggambaran, saya seorang sahaja yang bukan Melayu. Walaupun pihak produksi menyediakan makanan untuk saya, tapi rasa tak seronok nak makan dengan rakan-rakan Muslim.

“Selera pun dah tiada. Jadi, saya pun terikut juga untuk berpuasa,” katanya yang turut menyifatkan puasa sebagai satu amalan yang baik untuk kesihatan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply