Perkongsian foto terbaharu mengenai Yang Teramat Mulia (YTM) Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menerusi Instagram milik jurugambar Muash Rosman baru-baru ini menarik perhatian ramai.
Sejak mendirikan rumah tangga, agak jarang melihat penampilan anakanda Sultan Brunei ini. Barangkali kerana ‘status’ baharu Pengiran Anak Puteri Fadzilah sebagai ibu yang mengehadkan kemunculannya di hadapan khalayak.
Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bergelar Ibu
Menerusi gambar terkini YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah, kelihatan figura ini tampil anggun di sisi suami tercinta iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi sambil mendukung anakanda tersayang.
Dalam foto itu, YTM Pengiran Anak Puteri Fadzilah mengenakan persalinan rona putih sedondon dengan anakanda perempuan. Manakala suami, segak dalam sut hitam.
Memetik laporan RTB News, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan ini memaklumkan bahawasanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan amat sukacitanya telah mengurniakan nama kepada cucunda Baginda, iaitu anakanda kepada YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan YAM Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dengan nama Yang Amat Mulia Pengiran Anak Daniya Rahmatul Bolkiah binti Pengiran Suami Abdullah Al-Hashimi.
View this post on Instagram
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Kerabat Baginda seterusnya dengan sukacita mengurniakan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat semasa meluaran tersebut dan juga kepada semua yang telah menyembahkan perutusan tahniah dan ucap selamat berikutan dengan meluaran cucunda Baginda itu pada hari Rabu, 28 haribulan Rabiulawal, 1446 bersamaan 2 haribulan Oktober 2024 di Portland Hospital, London, United Kingdom, jam 9.55 pagi waktu tempatan.
Khabar gembira tersebut diumumkan media Brunei pada November 2024. YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah mendirikan rumah tangga dengan YAM Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi pada 16 Januari 2022.
Pengiran Anak Puteri Fadzilah kini berusia 39 tahun merupakan puteri kedua bongsu Sultan Brunei bersama Puan Hajah Mariam dan kekanda kepada Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.