Kontroversi Plagiat Tak Jejas Jualan Elrah Exclusive, Berjaya Kutip Untung RM 250 Juta!

Walaupun terpalit dengan kontroversi mengenai tuduhan meniru rekaan samping daripada jenama pakaian lain, pemilik Elrah Exclusive, El Azman tetap tegas mengatakan bahawa isu tersebut tidak memberi impak kepada jualan produk mereka.

Menurut El, kontroversi tersebut sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya. Namun, dia menegaskan bahawa ia tidak menghalang perkembangan perniagaan dan jualan Elrah Exclusive, malah produk keluaran jenamanya terus mendapat sambutan hangat, walaupun menjelang hujung Ramadan.

“Dalam dunia bisnes, bila kita besar, kita akan diuji. Tuduhan plagiat boleh merosakkan reputasi jika tidak ditangani dengan baik. Tapi satu benda yang orang tak boleh plagiat jiwa jenama.

BACA: “Bila Nak Telefon?” Tyra Kamaruzzaman Kesal El Azman Elak Diri Daripada Selesaikan Isu ‘Ciplak’ Rekaan Samping

“Rekaan boleh ditiru, warna boleh disalin, tapi nilai dan kepercayaan pelanggan membezakan yang asli dan yang tiruan.

“Namun selepas perkara itu tular, ia tak menjejaskan jualan kami. Sebaliknya jualan kami meningkat naik. Alhamdulillah, meskipun di hujung Ramadan ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Tambah El lagi, lonjakan jualan bukan berpunca daripada kontroversi tersebut, tetapi lebih kepada hasil strategi pemasaran yang telah dijalankan, termasuk pemilihan artis tempatan serta jaguh Muay Thai, Rodtang dan Tawanchay sebagai duta produk mereka.

“Pengambilan Rodtang dan Tawanchay membuatkan lebih ramai mengenali jenama kami ini. Pengambilan mereka memberi kesan baik kepada jenama Elrah. Alhamdulillah, tahun ini juga target jualan RM250 juta berjaya dicapai.

“Angka ini bukan datang semalaman. Ia adalah hasil dari tahun-tahun usaha tanpa henti, eksperimen strategi, dan keberanian untuk berubah mengikut arus pasaran,” ujarnya lagi.

Selain itu, El turut berkongsi kejayaan jualan di luar negara yang sangat memberangsangkan.

“Untuk pengetahuan, jualan di Thailand sangat meningkat, iaitu kepada RM70 juta. Malah pengaruh Aisar Khaled dan Fadhli di Indonesia juga meningkatkan jualan di sana,” tambahnya.

Baru-baru ini, pempengaruh Tyra Kamaruzzaman telah mendakwa bahawa rekaan kain samping yang dikeluarkan oleh suaminya, Emran Rijal, telah diciplak oleh sebuah jenama baju Melayu terkenal.

Susulan daripada tuduhan tersebut, Elrah Exclusive tampil memberi penjelasan pada Rabu, menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa ia tidak berasas serta tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh.

Dalam kenyataan yang sama, El juga menegaskan bahawa beliau bersedia mengambil tindakan undang-undang jika tuduhan tersebut memberi kesan negatif terhadap reputasi jenama Elrah Exclusive.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik. 


Posted

in

, ,

by

Comments

Leave a Reply