Sambutan ulang tahun ke-24 usianya menjadi titik perubahan besar bagi pemegang takhta Miss World Somalia 2021 dan Miss Universe Somalia 2024, Khadija Omar, yang kini tampil dengan keputusan untuk tidak lagi mengenakan hijab.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram, dia yang mencipta sejarah sebelum ini sebagai peserta pertama berhijab di pentas Miss World dan Miss Universe mengakui untuk tampil ke hadapan tentang isu tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.
Keputusan tersebut diambil selepas bertahun-tahun bergelut dengan konflik dalaman serta usaha untuk mengekalkan identiti dirinya sebagai seorang wanita Muslimah.
“Saya masih menyimpan rasa hormat yang mendalam terhadap makna hijab. Tetapi saya kini berada di satu fasa hidup di mana saya bersedia untuk menerima perubahan dan melakukan sesuatu yang terasa benar untuk diri saya,” tulisnya.
Sebagai wanita pertama yang menggalas tanggungjawab besar mewakili Somalia di pentas ratu cantik antarabangsa, Khadija mengakui penghargaan dan sokongan yang diterimanya sangat bermakna.
“Menjadi Miss Universe Somalia dan mewakili gadis Somalia dalam dunia pageantry merupakan satu penghormatan yang besar. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan berdiri bersama saya,” tambahnya.
BACA JUGA: Angkat Gadis Berhijab, Khadija Omar Dinobat Sebagai Miss Universe Somalia 2024
Penampilan berhijab Khadija sebelum ini ketika bertanding di Miss Universe 2024.
Namun dalam keberanian memilih jalan baharu, dia tidak lupa untuk terus memberikan sokongan dan kata-kata semangat buat gadis-gadis Somalia dan mereka yang masih memilh memakai hijab.
“Perjalanan hidup kamu adalah milik kamu sendiri. Bagaimana kamu mahu berpakaian atau tampil di dunia ini, adalah sepenuhnya keputusan kamu. Saya akan sentiasa memperjuangkan hak kamu untuk memilih,” tambahnya lagi.
Wanita berusia 24 tahun ini turut menegaskan bahawa misi untuk membuka lebih banyak peluang buat gadis Somalia, terutama dalam bidang ratu cantik dan perwakilan antarabangsa, masih diteruskan dan baru sahaja bermula.
Kenyataannya yang dilakukan ketika umat Islam sedng berada dalam minggu terakhir Ramadan mengundang pelbagai reaksi. Ada yang kecewa dengan perubahannya itu namun tidak kurang juga ada yang meniup semangat positif.
Imbas kembali, Khadija Omar mencipta sejarah tersendiri untuk wanita Muslim apabila dia menjadi peserta pertama yang berhijab di pentas Miss World and Miss Universe.
Mewakili Somalia, beliau berjaya menempatkan diri dalam kedudukan top 13 ketika pertandingan Miss World 2021. Sebelum mewakili Somalia di Miss Universe 2024, Khadija terlebih dahulu bergelar finalis top 5 di Miss Universe Canada 2024.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.