“Fatima Hafal Semua Lagu Saya & Dia Suka Berlakon..” -Nur Fazura

Aktres dan usahawan terkenal, Nur Fazura, memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang halangan terhadap impian dan cita-cita anak perempuannya, Nur Fatima Aisya Abdul Fattah.

Katanya kepada Remaja, walaupun Fatima bercita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan, dia juga menunjukkan minat dalam bidang seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Fazura Banyak Belajar Gayakan Hijab Daripada Gen Z Di Media Sosial

“Saya tiada halangan untuk anak perempuan saya. Macam Fatima, dia memang nak jadi ahli perniagaan tapi bila di rumah pun dia hafal semua lagu saya.

“Selain itu, dia juga minat berlakon kerana suka bercakap di depan cermin. Jadi tiada halangan untuk Fatima pada masa akan datang untuk dia jadi apa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen ‘Approved’ Fazura Nyanyi Lagu Adele, Siap Dapat Pujian Melambung!

Dalam pada itu, pelakon filem popular Gol Dan Gincu itu turut menekankan bahawa yang penting baginya adalah kebahagiaan dan usaha yang ditunjukkan oleh puteri tercintanya, sama ada untuk menjadi usahawan mahupun anak seni pada masa depan.

Selain, dia juga berharap agar Fatima dapat terus bekerja keras untuk mencapai cita-citanya.

“Bagi saya, yang penting dia gembira dan bekerja keras untuk menjadi usahawan mahupun anak seni yang berjaga kelak. Insyaallah,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fazura turut berkongsi pandangannya mengenai pilihan watak yang lebih selektif dalam kerjaya lakonannya.

Ujarnya, sebelum ini pelakon filem Pisau Cukur itu sering mengharapkan watak-watak yang memberi kesan positif, seperti wanita yang berdaya, namun yang ditawarkan kebanyakannya adalah watak penyondol.

“Saya kini lebih memilih dari segi watak kerana sebelum ini pun saya mengharapkan watak women empowerment, tetapi yang ditawarkan adalah watak penyondol dan sebagainya.

“Bagaimanapun saya bersyukurlah apa yang sudah terjadi, tetapi selepas ini saya akan lebih selektif dari segi watak dan jalan cerita untuk setiap karya yang ditawarkan,” kongsinya.

Fazura juga berharap agar industri seni tempatan dapat menghasilkan lebih banyak karya yang memberikan inspirasi dan berkualiti.

“Kerana sekarang ini terlalu banyak cerita penyondol dan saya harap industri kita dapat menghasilkan naskhah yang lebih baik dan lebih inspirasi,” tuturnya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


by

Comments

Leave a Reply