
PASIR SALAK – Malaysia dijangka terus mengekalkan dominasi dalam industri halal global menerusi penyertaan Ekspo Dunia yang akan berlangsung di Osaka, Jepun pada April depan.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Khairul Azwan Harun berkata, sehubungan itu pihaknya membuka peluang kepada pemain industri halal di negara ini untuk bersama menyertai Ekspo Dunia tersebut.
Menurutnya, seramai 2,000 usahawan dan syarikat Malaysia disasarkan menyertai ekspo yang berlangsung selama enam bulan itu nanti.
“Ada segmen industri halal di Ekspo Dunia itu nanti dan kita tidak mahu ketinggalan memperkenalkan produk dan perkhidmatan kita. Jadi HDC diberi tanggungjawab meningkatkan penyertaan syarikat dan pemain industri halal Malaysia untuk masuk ke ekspo tersebut.
“Kita amat mengalu-alukan penyertaan syarikat halal Malaysia untuk ke ekspo tersebut bukan hanya sebagai pempamer tetapi mengambil peluang untuk membina jaringan di peringkat global bagi memasarkan produk halal di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Perasmian Penutup Kursus Go Halal X-Pert di Kolej Komuniti Pasir Salak di sini pada Ahad.
Khairul Azwan berkata, penglibatan Malaysia di dalam ekspo berkenaan juga bertujuan menarik minat pelabur multinasional asing untuk datang membuka kilang bagi mengeluarkan produk halal mereka menggunakan sijil Malaysia di beberapa taman industri halal Malaysia.
Katanya, HDC dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan membantu membawa usahawan dan syarikat Malaysia bagi menembusi pasaran halal global yang kini bernilai lebih 3 trilion dolar Amerika Syarikat.
“Dalam masa terdekat ini kita akan perkenalkan mekanisme dan cara untuk kita bawa lebih banyak syarikat Malaysia pergi ke ekspo berkenaan.
“Jadi ini juga akan memberi pendedahan kepada pembangunan industri dan juga pengguna-pengguna produk halal bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia terhadap produk-produk halal daripada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana usahawan berminat boleh mengemukakan permohonan kepada HDC atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk dipilih berdasarkan syarat serta kelayakan ditetapkan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.