
PUTATAN – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh menegur segelintir pasar raya yang tidak mengambil peluang mengadakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ‘Back To School’ bagi membantu ibu bapa membeli-belah barangan sekolah di saat akhir.
Beliau yang membuat tinjauan di sebuah pasar raya di daerah ini berkata, sepatutnya pasar raya menyusun jadual PJRM tersebut untuk diadakan pada hari terakhir sebelum sesi persekolahan bermula pada Isnin.
“Ya (teguran), pada saya pasar raya boleh menyusun lebih baik Jualan Rahmah ini sebab kita (KPDN) telah pun mengeluarkan peruntukan dan pasar raya boleh pilih waktu yang paling sesuai untuk mengadakannya.
“Jadi saya menyeru dan menyarankan pada masa depan memandangkan kita nak masuk bulan Ramadan dan kita nak hari raya, saya harap pasar raya membantu kerajaan dan kementerian untuk sama-sama membantu menangani kos sara hidup rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pasar raya di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, mungkin juga pasar raya tersebut terlepas pandang namun menerusi jualan PJRM itu yang boleh membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup ketika ini.
Beliau dalam pada itu mengakui agak terkejut dengan kos yang terpaksa ditanggung ibu bapa untuk membeli keperluan peralatan sekolah termasuk pakaian yang mencecah lebih RM200 untuk seorang anak.
“Jadi saya tengok kalau seorang ibu bapa nak membeli baju sepasang, tudung, beg, kasut dan stoking wajib RM200 lebih untuk set kelengkapan, belum masuk alat tulis.
“Di Semenanjung pun mahal juga tetapi mungkin Sabah lebih lagi (mahal). Sebab itu, KPDN mengadakan 28 Jualan Rahmah ‘Back To School’ di Sabah kerana saya tengok RM200 itu agak membebankan.
“Jadi saya rasa ini adalah amanah sebab Jualan Rahmah punya bajet itu memang ada dan harus digunakan sebaiknya,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.