
JOHOR BAHRU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menyediakan sebanyak 640 tan metrik bekalan kelapa setiap bulan untuk memenuhi permintaan di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Shahrizan Sudiman berkata, pihaknya sudah melakukan intervensi dengan mendapatkan bekalan dari Indonesia dan Borneo.
“Alhamdulillah, kita punya rancangan adalah untuk membekalkan kelapa setiap bulan sebanyak 640 tan metrik ke seluruh Malaysia.
“Insya-ALLAH, bekalan dari Sabah dan Sarawak juga akan mula masuk ke Semenanjung berkemungkinan 20 Februari ini,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Ulang Tahun Penubuhan Pasar Tani ke-40, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Haji Mohd Haffiz Ahmad dan Pengarah FAMA Negeri Johor, Faidz Afizi Mohamed.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pengagihan bekalan untuk setiap negeri di Malaysia akan dilakukan melalui semua pusat operasi FAMA.
Pada masa sama, beliau berkata, bekalan itu juga dijamin dapat memenuhi permintaan kelapa sepanjang tempoh di bulan Ramadan pada bulan depan.
“Untuk sambutan Ramadan, Insya-ALLAH kita bagi jaminan bahawa bekalan mencukupi daripada sumber yang saya katakan tadi.
“Kita juga akan bekerjasama dengan pengusaha dan pemborong yang ada dalam negara untuk memastikan semuanya berjalan seperti dirancang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, krisis bekalan kelapa bermula sejak Julai tahun lalu berpunca daripada pengeluaran tempatan melawas dan permintaan tinggi terhadap kelapa muda.
Tambah beliau, setakat ini negeri yang mengalami kekurangan bekalan kelapa yang kritikal ialah Pantai Timur terutamanya Kelantan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.