Golongan wanita kerja hingga lewat malam, perlu lebih berwaspada

Golongan wanita kerja hingga lewat malam perlu sentiasa berhati-hati. Gambar hiasan

PERISTIWA yang menimpa Allahyarhamah Norshamira Zainal, 37, ibarat memberi satu ‘tamparan’ kuat kepada semua rakyat di Malaysia tambah lagi mereka yang bergelar seorang perempuan atau wanita.

Isu keselamatan seperti ini bukan sesuatu perkara baharu dan kini, ia kembali menjadi topik perbincangan berkenaan keselamatan golongan wanita, terutamanya mereka yang bekerja hingga larut malam.

Tragedi ini bukan sekadar satu kes jenayah sahaja tetapi satu peringatan jelas bahawa isu keselamatan masih menjadi cabaran terbesar di Malaysia.

Sebelum ini, Norshamira yang juga peniaga makanan ditemui mati disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan pada Khamis.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu berkenan mencemar duli berangkat menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Jumaat.

Menurut kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang, baginda mahu suspek segera diberkas dan dikenakan hukuman setimpal jika disabitkan atas kesalahan membunuh.

Dalam pada itu, polis pula telah berjaya menahan seorang lelaki dipercayai suspek kes terbabit dan direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari depan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 53 tahun itu ditahan jam 5.30 pagi di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Penahanan suspek menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Kejadian terbabit menjadi suatu ketakutan atau dilema buat golongan wanita yang bekerja sebagai penghantar makanan atau barangan sehingga ke lewat malam.

Semua sedia maklum, golongan itu terpaksa meredah jalanan bersendirian, berdepan pelanggan yang tidak dikenali dan berada di kawasan sunyi.

Realitinya, kejadian berlaku kepada Norshamira menjadi bukti nyata bahawa golongan wanita masih terdedah kepada bahaya jenayah, termasuk serangan fizikal yang boleh membawa maut.

Persoalannya apakah solusi terbaik yang boleh dilakukan oleh golongan wanita untuk selamat daripada ancaman bahaya apabila bekerja sehingga ke lewat malam?

Pertama, disarankan untuk tidak menghantar makanan seorang diri, terutama ada waktu lewat malam dan seeloknya bergerak secara berkumpulan atau ditemani seseorang yang dipercayai ketika melakukan penghantaran.

Kedua, digalakkan untuk memuat turun aplikasi keselamatan diri yang membolehkannya berkongsi lokasi dan meminta bantuan dalam situasi kecemasan.

Terakhir, mereka juga wajib menghantar ‘live location’ kepada suami, anak atau ahli keluarga setiap kali keluar untuk menghantar makanan.

Dengan cara ini, ahli keluarga yang terdekat dapat mengesan lokasi penghantaran secara masa nyata dan mengambil tindakan segera jika berlaku kejadian tidak diingini.

Kesimpulannya, kes yang berlaku ini menjadi peringatan, bukan sahaja kepada golongan wanita tetapi juga semua pihak bahawa ia perlu dipandang serius.

Diharapkan juga, majikan, pihak berkuasa dan masyarakat perlu bekerjasama dalam memastikan langkah keselamatan lebih ketat dilaksanakan agar kejadian seperti ini tidak berulang pada masa hadapan terutamanya kepada orang yang disayangi.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply