
KUALA LUMPUR – Pasaran yang lebih terbuka dan penggunaan teknologi media sosial memberi peluang usahanita (usahawan wanita) negara ASEAN dan Jepun menerokai bidang perniagaan agar lebih berinovasi, lestari dan meningkatkan nilai inklusiviti.
Menurut Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita, Datuk Dr. Hafsah Hashim usahanita hari ini perlu menyahut cabaran yang lebih dinamik jika ingin lebih maju.

“Faktor kewangan (dana), pasaran dan bimbingan (mentorship) perlu dilihat lebih serius. Menyentuh senario di Malaysia, saya amat mengalakkan usahanita untuk mendaftarkan perniagaan masing-masing dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Ini berikutan daripada data yang saya perolehi, hanya 20.7 peratus sahaja usahanita mendaftarkan perniagaan mereka, selebihnya lebih 3 juta lagi hanya mempunyai lesen berniaga tapi tidak mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM.
“Bagaimanakah mereka boleh mengembangkan perniagaan masing-masing jika data dan dokumen pengurusan-kewangan tidak diuruskan dengan baik,” jelas beliau selepas menjadi moderator sesi kelima sempena Sidang Kemuncak Usahawan Wanita ASEAN-Jepun 2025 di Kuala Lumpur.
Dalam sesi bertajuk “Mengurangkan Jurang Gender dan Memperkasa Perusahaan Milik Wanita untuk Berkembang”, tiga ahli panel terlibat ialah Jukhee Hong (Pengarah Eksekutif, ASEAN – BAC), Anne Abraham (Pengasas dan Pengerusi, LeadWomen) dan Sue Yii Yap (Ketua Pegawai Eksekutif, Komuniti Tukang Jahit-KTJ).
Menurut Anne, program bimbingan (mentorship) sangat penting kepada usahanita membangunkan perniagaan mereka selain perlunya membina jaringan kerjasama perniagaan dengan baik.
“Sebagai usahanita yang proaktif, kita mampu mengubah polisi yang menyebabkan wanita kurang berdaya saing dalam perniagaan.
“Polisi tertentu yang menyekat kemajuan wanita dalam perniagaan perlu diubah agar wanita boleh bersaing dalam perniagaan dan ia dapat mengurangkan jurang antara usahawan wanita dan lelaki,” ujarnya.
Sementara itu Jukhee berkata, beliau melihat usahanita dari negara ASEAN semakin kompetitif dan berdaya saing, maka adalah wajar subjek keusahawanan menjadi subjek wajib di semua peringkat persekolahan khususnya di sekolah rendah, menengah dan universiti sebagai persediaan generasi muda terlibat dalam dunia perniagaan..
Bagi sesi ke empat pula, tajuk perbincangan ialah ‘Impak dan Memanfaatkan Kelestarian untuk Pembangunan’ yang dikendalikan oleh Pengarah Hubungan Kelestarian Coca Cola Jepun, Nozomi Mizuno Witherspoon.
Sesi ini menyaksikan empat panel terlibat yang terdiri daripada Sophea Lar (Setiausaha Agung ASEAN Jaringan Usahanita, AWEN), Mylene Abiva (Setiausaha Korporat Hubungan Antarabangsa Majlis Perniagaan Wanita Filipina), Ayaka Matsuno (Pengarah, Inovasi Sosial – Yayasan Keamanan Sasakawa, Jepun) dan Katrina Inandia (Ketua, Impak Kelestarian Amartha, Indonesia).
Menurut Pengerusi ASEAN Youth Organization (AYO) yang juga merupakan Pengarah Sidang Kemuncak Usahawan Wanita ASEAN-Jepun 2025, Sarah Rauzana menegaskan, persidangan ini amat bermanfaat dan memberi peluang kepada usahanita berkongsi pengalaman memajukan perniagaan mereka mengikut perspektif dan pengalaman masing-masing.
“Sidang kemuncak ini membuka peluang besar untuk para peserta memperluaskan jaringan perniagaan ke peringkat antarabangsa dan mempelajari amalan terbaik daripada rakan-rakan usahanita dari negara-negara ASEAN dan Jepun.
“Hampir 100 peserta yang terdiri daripada usahawan wanita, pemimpin industri dan wakil kerajaan dari rantau ASEAN dan Jepun menghadiri persidangan sehari ini.
“Sidang kemuncak ini bertujuan memperkukuh kerjasama serantau, memperkasa usahawan wanita dan mempromosikan inovasi serta pembangunan mampan dalam dunia keusahawanan,” katanya.
Sidang Kemuncak Usahawan Wanita ASEAN-Jepun 2025 ini merupakan inisiatif Pusat ASEAN-Jepun (AJC) dengan kerjasama AYO dan ia mendapat sokongan Jawatankuasa Penyelarasan ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) dan Yayasan Kepimpinan Wanita Malaysia.
Persidangan ini diadakan selaras dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini. Ia mendapat sokongan penganjuran oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Ewon Benedick, Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn dan Pengarah, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Jepun – METI, Yumiko Hata yang menyampaikan ucapan aluan, ucapan perasmian, dan mesej sokongan melalui rakaman video masing-masing sempena penganjuran Sidang Kemuncak Usahawan Wanita ASEAN-Jepun 2025 ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.