
SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan merajuk dan enggan mengikuti latihan taekwondo yang diajar oleh jurulatih baharunya.
Menerusi perkongsian TikTok milik @koryomarvelous atau Faezah Matuha, 45, jurulatih lelaki berkenaan cuba memujuk kanak-kanak berusia empat tahun itu, namun tindakan tersebut tidak membuahkan hasil apabila dia memusingkan badannya sebagai tanda protes.
Faezah yang juga Ketua Jurulatih Taekwondo Batu Pahat berkata, gadis cilik tersebut bersikap demikian kerana jurulatih asalnya tidak mengajar pada sesi latihan itu.
“Jurulatih yang asal itu tidak dapat mengajar kerana ada urusan keluarga, jadi saya gantikan dengan jurulatih lain.
“Kanak-kanak itu pula sudah biasa dengan jurulatih sama, bila ada orang lain ajar taekwondo, dia tidak suka.
“Kesudahannya dari awal hingga habis kelas, dia tidak mahu belajar dan merajuk,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut Faezah, kanak-kanak perempuan itu baharu sahaja mendaftar masuk kelab taekwondo dua bulan lepas manakala jurulatih tersebut merupakan pembantunya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Sri Rengit Batu Pahat, Johor.
Ujarnya, ibu kanak-kanak berkenaan pernah memaklumkan bahawa anaknya mengambil masa berkenalan dan biasakan diri dengan orang lain.
“Maksudnya jika budak itu tidak biasa dengan orang, memang bersungguh-sungguh tidak mahu (belajar).
“Masa awal daftar sesi latihan pun, budak itu marah juga jurulatih dia tetapi bila sudah lama kenal, dah terbiasa,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.