Jovian Mandagie Hentikan Sementara Operasi Jenamanya Selepas 17 Tahun Dalam Industri Fesyen Malaysia

Setelah 17 tahun gemilang membina jenamanya dalam industri rekaan fesyen tanah air, Datuk Jovian Mandagie mengambil keputusan untuk menghentikan sementara operasi perniagaannya itu.

Dalam hantaran yang dimuat naik pada 9 Mei menerusi platform Instagram itu, Jovian, 38 mendedahkan dirinya kini bersedia untuk melakukan perubahan dan mengejar impian lain yang sebati dengan dirinya. Baginya, industri fesyen sudahpun berevolusi dari semasa ke semasa dan begitu juga dengan dirinya yang mengalami perubahan daripada posisi seorang pereka fesyen kepada seorang ahli perniagaan.

Justeru, keputusan untuk menghentikan sementara operasi rangkaian jenama Jovian Mandagie dan Jovian RTW yang selama ini melonjakkan namanya selaku salah seorang pereka fesyen paling diminati di Malaysia terpaksa dilakukan.

Pereka fesyen & usahawan, Jovian Mandagie.

“Saya pernah memiliki peluang keemasan sebagai pereka fesyen kepada golongan elit dan kerabat dari seluruh dunia. Kami juga pernah melancarkan bermacam-macam koleksi dan menawarkan pelbagai produk kategori fesyen kepada berjuta-juta rakyat Malaysia. Saya gembira dapat melakukan itu semua untuk anda, Jovianista yang kami sayangi.

“Sokongan anda selama lebih dari 17 tahun adalah hadiah terbaik buat kumpulan Jovian Mandagie. Adakah kami bakal kembali? Sudah tentu – lebih besar dan lebih baik, insyaAllah. Saya mohon untuk terus mendoakan kami,” pintanya.

Sambil itu, ayahanda kepada Jeanelle Nika Mandagie itu turut menghulurkan ribuan terima kasih kepada ratusan pekerja yang pernah dan masih berkhidmat untuk pasukan Jovian Mandagie.

Beliau turut berterima kasih kepada para pembekal, kolaborator, selebriti serta rakan kongsi perniagaan; kesemuanya yang sudahpun dianggap beliau sebagai ahli keluarganya sendiri.

Terdahulu pada Jun 2023, Jovian telah memutuskan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada butik utamanya yang terletak di Bangsar. Setelah lebih 10 tahun bertapak di situ, siapa sangka penutupan cawangan Bangsar itu akan disusuli dengan keputusan yang dilakukannya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jovian Mandagie Bina Gelanggang Tenis Untuk ‘Comeback’ Cheetah Di Pentas Peragaan Malaysia – REMAJA

BACA LAGI: Kepercayaan Terus Diberi Kepada Jovian Mandagie, Kali Ini Bersama Pengeluar Pakaian Dalam – REMAJA

Dalam temubual bersama REMAJA tidak lama dahulu, anak kelahiran Jakarta, Indonesia ini pernah berkongsi mengenai keputusannya menukar jurusan daripada seni bina ke rekaan fesyen semasa menuntut dalam semester keduanya di universiti.

Biarpun mendapat tentangan daripada ibunya, Jovian nekad untuk menamatkan pengajiannya dan berjaya bergelar pereka fesyen terkenal di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Buat korang yang ingin memiliki produk-produk terakhir jenama Jovian Mandagie, korang masih boleh merebutnya sempena jualan penutupan Jovian RTW bermula 10 Mei, esok di JStore dan di laman web rasmi mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply