Set Kepala VR Untuk Tikus Dibangunkan Bagi Mengkaji Alzheimer

Set kepala VR digunakan manusia bagi tujuan hiburan dan dengan pengenalan set kepala realiti gabungan pula, dunia maya dan realiti boleh digabungkan secara lebih realistik. Penyelidik dari Cornell University telah membangunkan set kepala VR khusus untuk tikus bukan untuk berhibur tetapi bagi mengkaji penyakit serius pada otak manusia.

MouseGoggles ialah set kepala kecil untuk tikus dan ia adalah bagi membaca aktiviti otak tikus makmal dalam kajian penyakit Alzheimer. Dalam kajian terdahulu, saintis mendapati pengurangan aliran darah pada bahagian otak dikesan pada tikus yang menghidap penyakit Alzheimer. Dengan meningkatkan semula aliran darah ke bahagian ini, sebahagian fungsi kognitif otak berjaya dikembalikan.

Bagi mencari cara mengembalikan aliran darah ini, saintis sudah melakukan eksperimen ke atas tikus sejak sedekad lalu. Tetapi sistem skrin yang digunakan sekarang mengganggu subjek dan kerap kali reaksi yang diharapkan tidak berlaku.

Menggunakan skrin jam tangan pintar, MouseGoggles dihasilkan dan dalam ujian yang telah dilakukan memberikan tindak balas yang diharapkan oleh penyelidik. Tidak seperti set kepala yang disarung ke kepala, MouseGoogles adalah statik dengan tikus berdiri di atas sebiji bola yang berputar. Aliran darah pada bahagian korteks visual prima dan hipokampus kemudiannya dijejak.

Kejayaan membina MouseGoggles memberikan idea kepada penyelidik untuk membangunkan sebuah set kepala yang boleh disarung pada tupai dan tikus mondok yang bersaiz lebih besar.


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply