Atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berjaya menyambar pingat emas acara 100 meter (m) T35/36 (kecacatan fizikal) pada Grand Prix Olahraga Para Dunia Marrakech di Maghribi, sekaligus mencipta kelasnya tersendiri.
Memetik laporan Sinar Harian, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 yang mesra dipanggil “Dek Wan” berjaya mencatat masa 12.52 saat (s) untuk meninggalkan Taha Al Harrasi (12.65s) dari Oman yang membawa pulang perak di Grand Stadium Marrakech.
Pingat gangsa menjadi milik rakan senegara Ahmad Fizzi Rosni yang mencatat masa 12.72s.
Foto: Mohamad Ridzuan.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara Muhamad Afiq Mohamad Ali terpaksa berpuas hati memperoleh gangsa bagi acara 100m T12 (kecacatan fizikal) dengan mencatat masa 11.45s.
Muhamad Afiq ditinggalkan pelari tuan rumah Mouncef Bouja yang memperoleh emas dengan catatan masa 11s manakala pingat perak menjadi milik Temitope Olusesan dari Nigeria dengan rekod 11.15s.
Dalam pada itu, atlet para Mohammad Zikri Zakaria memperoleh perak bagi acara lontar peluru F55/56 (berkerusi roda) selepas menyempurnakan lontaran sejauh 9.61 meter (m) dengan 780 mata.
Pingat emas menjadi milik atlet dari Armenia, Sargio yang membuat lontaran 11.23m dengan kutipan mata 924.
Pingat gangsa pula disambar oleh Mukan Aitmyrzayev dari Kazakhstan meraih selepas membuat lontaran sejauh 9.62m dengan 733 mata.
Sumber: Sinar Harian
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.