Terlupa buang sampah sehari saja pun, esoknya tong penuh dengan ulat sampah ini. Memang geli dibuatnya, apatah lagi bila tengok ulat sampah atau manggots ini merayap di lantai.
Bagi yang memang ‘penggeli’, mulalah panik tak tahu apa nak buat. Untuk hapuskan ulat sampah ini ada beberapa tip yang boleh digunakan.
1. Guna peluntur
Ambil satu cawan peluntur dan campur dengan satu cawan air. Letak dalam botol spray dan sembur pada tong sampah dan juga di kawasan yang ada ulat ini. Semburan ini akan mematikannya.
2. Cuka
Kalau tiada peluntur boleh gantikan dengan cuka, nisbah yang sama tapi menggunakan air panas. Siram pada tempat terdapat ulat ini.
3. Air panas
Jika tiada peluntur dan cuka, boleh siram air panas pada kawasan atau tong sampah terutama di luar rumah yang dipenuhi ulat ini.
4. Bunga cengkih
Boleh juga menggunakan petua bunga cengkih untuk menghapuskan ulat sampah ini. Tumbuk kasar dan tabur pada tempat ulat sampah membiak.
5. Penyembur serangga
Namun jika mahu menghapuskan ulat sampah ini dengan cepat kerana bimbang ia merayap di dalam rumah, boleh gunakan penyembur serangga yang ada di rumah. Cuma penggunaanya agak banyak kerana ulat ini jumlahnya pun banyak.
Selepas semua ulat sampah ini mati, pastikan kita bersihkan tong sampah supaya masalah yang sama tak berulang.
Tip elak ulat sampah membiak
- Ulat sampah ini asalnya dari telur lalat jadi sebagai langkah pencegahan tutup tong sampah terutama yang mempunyai sisa makanan supaya tak dihurung lalat. Jika lalat bertelur, ia hanya menyambil masa sehari untuk menetas dan menghasilkan ulat sampah ini.
- Selain itu sentiasa pastikan tong sampah itu sendiri dalam keadaan bersih dan tiada sisa makanan yang boleh mengundang lalat datang.
Sumber: Wikihow& Westwiraljetwashservice
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.