Cara Buat Baja Guna Rumput Liar. ‘Zero’ Modal Tapi Berkesan Suburkan Pokok Sayur

Buat baja dari rumput liar, bagi yang bercucuk tanam, tapi dalam masa yang sama mahu jimatkan kos beli baja boleh ikut cara yang dikongsi oleh Syafiq Baharin.

Boleh kutip rumput liar yang sudah kering dari kawasan rumah atau tepi jalan saja. Tak perlu keluarkan apa-apa kos kecuali jika mahu membeli tong.  Panduan lengkap boleh ikut langkah demi langkah yang beliau kongsi.

Buat sendiri baja subur dari rumput & daun kering

Cara buat baja cecair ini saya belajar dari kaedah JADAM from Korea. Setakat ini, inilah baja utama yang saya pakai kerap di samping sekali sekala letak baja tinja kambing.
Hasilnya Alhamdulillah sangat subur. Dengan izin Allah SWT. Kosnya hampir RM0. Hanya kos beli tong saja, kalau pakai tong sedia ada, kira zero cost.

Sedia 3 bahan mudah ini saja

Bagi menyediakan baja ini hanya perlukan 3 bahan saja;
1. Air hujan
Kalau tiada guna air paip pun boleh tapi biarkan dalam 3-4 hari dulu sebelum buat baja.
2. Leaf mold
Cari mana-mana pokok besar, bawah pokok ada banyak daun kering gugur, lagi tebal daun kering terkumpul situ, lagi bagus. Cari satu spot, tolak daun-daun kering ke tepi. Akan nampak ada satu lapisan tanah yang warna gelap kehitaman. Ambil dalam dua genggam tanah gelap, itulah namanya Leaf Mold.
3. Rumput liar
Ambil rumput liar yang ada sekitar rumah atau mana-mana (apa jenis rumput liar pun tak mengapa).

Inilah rupa leaf mold. Foto: www.growingwithnature.org

Cara membuat

1. Ambil satu tong, jenis tong terpulang janji ada penutup. Tong cat besar pun boleh.

2. Penuhkan 2/3 dari tong dengan rumput liar tadi. Padatkan ke dalam tong.

3. Penuhkan tong dengan air hujan tadi sampai penuh ke atas dan tutup semua rumput liar.

4. Masukkan dua genggam Leaf Mold tadi dalam tong, biar tanah itu tenggelam dalam air.

5. Tutup dan biarkan sekurang-kurangnya 2 minggu dalam tong.

6. Lepas 2 minggu, boleh mula pakai. Lagi lama peram, baja ini akan lagi ‘kaw’. Nak peram setahun pun takda masalah.

Awal-awal lepas peram, air baja ni memang busuk macam bau lepas banjir, tapi makin lama, bau dia akan makin kurang.

Cara penggunaan

Ratio penggunaan dia adalah 1:100. Maksudnya, setiap 1000 ml air, letak 10 ml air baja ini. Kacau sebati.
– Boleh siram pada apa-apa pokok seminggu sekali.
– Nak spray secara foliar pada daun pun boleh, tapi tapis dulu air baja supaya spray tak tersumbat.

Kalau rasa 1:100 tak cukup padu, boleh pekatkan lagi hingga 1:50 (1000 ml air, 20 ml air baja). Tapi mula dengan 1:100 dulu. Baru tambah kalau perlu.

Apabila baja ini hampir habis dan nak tambah, cuma tambah lagi segenggam leaf mold dalam tong yang sama. Penuhkan semula rumput liar dan air hujan, itu saja.

Kos untuk buat baja ini rasanya pada tong saja, lain-lain semua barang dari sekeliling kita saja. Bayangkan dengan baja sepenuh tong biru besar, pakai pula berapa ML je setiap kali pakai dan pokok memang subur insya-Allah, berapa lama dapat jimat kos baja?

Semoga bermanfaat

Sumber: Syafiq Baharin


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply