KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 orang membabitkan 11,385 keluarga di enam negeri setakat jam 9.32 pagi Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.
“Sebanyak 322 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di keenam-enam negeri setakat ini.
“Kelantan merekodkan mangsa banjir tertinggi membabitkan 30,582 orang daripada 9,223 keluarga dan 157 PPS telah dibuka di sembilan daerah di Kelantan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah diarah untuk memperkemas penyelarasan seluruh jentera agensi Persekutuan dan negeri.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, ia bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir dan penduduk di kawasan terkesan menjadi keutamaan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang bermula November 2024 hingga Mac 2025.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan kini mencecah 11.42 meter (m) dan melepasi catatan bah kuning pada 2014.
Kejadian itu sekali gus mengakibatkan daearah berkenaan lumpuh ekoran bekalan elektrik di beberapa kawasan terpaksa diputuskan susulan hujan yang masih berterusan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.