Tahap kesedaran masyarakat mengenai pentingnya mengamalkan pengasingan sisa pepejal dan melakukan aktiviti kitar semula perlu dipertingkatkan melalui programprogram yang berimpak melalui sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) yang diadakan pada setiap tahun.
Ini termasuklah memperkasakan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) menerusi HKSK bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran amalan kitar semula sekali gus mampu dimanfaatkan sebagai pendapatan hasil daripada penggunaan sumber ini.
Pada tahun ini, sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2024 (HKSK 2024) yang ke – 10 bertemakan Pemangkin Ekonomi Kitaran yang dikendalikan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan diadakan pada 28 November 2024 bertempat di The Everly Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, HKSK 2024 mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama membudayakan kebersihan persekitaran dan amalan 3R kerana ia adalah langkah penting dalam memastikan sumber semula jadi dapat dijaga dengan sebaik-baiknya, selain mengurangkan sisa yang mencemarkan alam sekitar.
Menurutnya, 11 November pada setiap tahun telah dipilih sebagai tarikh rasmi sambutan HKSK bertujuan menyeru masyarakat untuk bersama-sama melaksanakan amalan 3R dan memelihara alam sekitar sebagai budaya sepanjang hayat.
“Malaysia sedang giat mengambil langkah signifikan dalam peralihan kepada ekonomi kitaran seiring dengan perkembangan global yang memfokuskan kepada perubahan iklim dalam Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).
“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjadi asas kepada hasrat ke arah pembangunan negara rendah karbon, bersih dan berdaya tahan melalui inisiatif mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran,” katanya kepada Sinar Harian barubaru ini.
Jelasnya, ekonomi kitaran menekankan penggunaan sumber secara lebih cekap, di mana bahan dan produk dikitar semula, digunakan semula dan dipulihkan untuk meminimumkan pembaziran dan kesan negatif terhadap alam sekitar.
“Pengamalan model ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal dapat mengubah minda dan tingkah laku masyarakat serta meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan kepada 40 peratus menjelang tahun 2025.
“Selain itu, melalui ekonomi kitaran ia mewujudkan peluang ekonomi baharu dan ini bukan sahaja membantu alam sekitar tetapi mencipta peluang pekerjaan,” katanya.
Tambah Khalid, menguruskan sisa pepejal bukanlah tugas agensi kerajaan semata-mata, tetapi ia merupakan kewajipan semua ahli masyarakat supaya bumi terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Sambutan pada kali ini turut menghargai pihak yang telah bergiat aktif dalam mengusahakan program dan aktiviti penjagaan kebersihan dan amalan 3R.
“Selain Pengumuman Kadar Kitar Semula Kebangsaan 2024, program turut diwarnai dengan penyampaian anugerah pemain industri termasuk Anugerah Pengilang Kitar Semula Terbaik; Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Sisa Pepejal Sektor Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian; Anugerah Agensi Terbaik World Cleanup Day; Anugerah Waste to Wealth Innovation (WAWI) dan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKISS).
“Turut diadakan penyampaian penghargaan kepada Rakan Strategik SWCorp selain persembahan muzik oleh Reuz Band menggunakan peralatan yang dibuat daripada barangan terbuang atau barang kitar semula,” katanya.
Sumbangan masyarakat dalam amalan 3R
Menurut Khalid lagi, jika ke pasar boleh merancang pembelian, elakkan membeli barang melebihi keperluan atau menggunakan plastik sekali guna sebagai bungkusan.
“Apabila membuat tempahan makanan melalui aplikasi dalam talian, pilih untuk tidak menerima sudu dan garfu plastik.
“Amalan guna semula (reuse) pula boleh dilaksanakan dengan membawa bakul atau beg fabrik seperti wooven bag (fabrik) untuk membawa barang yang telah dibeli supaya boleh digunakan semula kelak.
“Dengan cara ini janaan sisa pepejal dari produk sekali guna juga dapat dikurangkan,” katanya.
Manakala, langkah terakhir, setelah semua tindakan mengurangkan dan mengguna semula dilaksanakan barulah ke fasa kitar semula (recycle).
“Asingkan botol plastik, kotak minuman, bekas makanan mahupun kertas daripada sisa baki. Barang yang boleh dikitar semula tersebut boleh dikumpul dan dihantar ke pusat kitar semula.
“Sisa makanan juga boleh dikitar semula dengan dijadikan baja melalui proses pengkomposan,” katanya.
Harapan penganjuran HKSK Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah merangka beberapa dasar negara bagi mendokong usaha ke arah kelestarian bumi sebagai usaha untuk memulihara dan memelihara sumber alam daripada kerosakan yang berterusan.
Khalid berkata, dalam RMK12, KPKT telah mensasarkan kadar kitar semula negara sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025.
“Sistem pengurusan sisa pepejal di negara masih berasaskan kepada model konvensional ekonomi linear iaitu kebanyakan sisa dibuang selepas digunakan dan berakhir di tapak pelupusan perlu diubah.
“Sekiranya amalan ini berterusan, ia akan meningkatkan kos pengurusan sisa pepejal yang perlu ditanggung oleh kerajaan dan memberi impak yang negatif kepada sosial dan alam sekitar,” katanya.
Jelasnya, Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (Majlis NCEC) telah mendapat sokongan daripada 15 kementerian yang memberi tumpuan kepada enam elemen yang menyokong ekosistem kitaran.
“Elemen tersebut adalah membangunkan pasaran kitar semula dan membangunkan sistem data bersepadu dan mewujudkan platform kerjasama awam, swasta dan komuniti,” katanya.
INFO
Pertandingan, aktiviti sempena HKSK 2024
Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKISS)
•Pada tahun ini, sebanyak 1,619 penyertaan telah diterima melibatkan 1,096 sekolah rendah dan 523 sekolah menengah. Jumlah barangan kitar semula yang telah berjaya dikumpul dan dijual adalah sebanyak 4,259,094.33 kilogram dengan nilai bersamaan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan rakan strategik.
Pertandingan Rekabentuk WAWI
•Program baharu yang mula diperkenalkan pada tahun 2021 oleh SWCorp dengan kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM). Matlamat penganjuran program ini untuk mencungkil idea kreatif dan inovatif bakat-bakat baharu pereka dan pencipta.
World Cleanup Day (WCD)
•Pada tahun ini, Program WCD telah menerima sebanyak 108,456 penyertaan dan berjaya mengumpul dan mengaudit sebanyak 5,822,041.60 kg sisa di 1,280 buah lokasi.
Sukarelawan Hero Kebersihan
•Sukarelawan Hero Kebersihan merupakan salah satu inisiatif SWCorp bermatlamat untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukarelawan berkaitan kebersihan persekitaran dan amalan 3R. Boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman sesawang – sukarelawan. swcorp.my. Sehingga kini, jumlah Sukarelawan Hero Kebersihan yang telah berdaftar adalah seramai 80,471 orang.
Program Trash to Cash
•Program kutipan barangan kitar semula yang dilaksanakan melibatkan komuniti, sekolah, tadika dan institut pengajian tinggi (IPT), pejabat kerajaan serta institusi komersial.
•Sehingga Ogos 2024, jumlah barangan kitar semula yang telah berjaya dikumpul dan dijual adalah sebanyak 8.663 tan bersamaan dengan nilai RM3,837,941.50.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.