Lepas Bersalin Nak Cepat Sembuh, Doktor Ini Kongsikan Cara Jaga Luka Yang Ibu Boleh Buat

Menurut Dr. Jalina Karim yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kejururawatan, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan UKM, ketika proses bersalin ketika bayi dilahirkan, pembukaan vagina boleh terbuka dengan besar bagi membolehkan bayi keluar.

Di samping itu, bukaan vagina boleh dibantu untuk dibesarkan dengan melakukan turisan yang dikenali sebagai episiotomi atau pintu vagina boleh terkoyak dengan sendirinya akibat dari tekanan ketika bayi keluar.

Luka pada pintu vagina yang teruk boleh berlaku sehingga ke peringkat ketiga atau keempat. Luka peringkat ketiga adalah luka sehingga melibatkan otot keliling anus, manakala luka peringkat keemapt boleh memanjang sehingga ke lapisan mukosa yang menyelaputi bahagian rektum.

Sumber foto: www.freepik.com

Selepas bayi dan plasenta keluar, jururawat atau doktor akan memeriksa kawasan vagina samada ada memerlukan jahitan atau tidak. Sekiranya episiotomi dilakukan ketika bayi hendak keluar, ianya akan dijahit, begitu juga kalau ada kekoyakan, ia juga akan dijahit. Luka di perineum akan dijahit dengan benang boleh larut.

Benang ini lama kelamaan akan melarut dengan sendiri dan tidak memerlukan prosedur untuk membuka jahitan, biasanya dalam tempoh 3 minggu. Kekuatan memegang (tensile strength) untuk benang ini adalah 2 minggu.

Walaupun cebisan benang masih ada selepas tempoh ini, tetapi ianya tidak berfungsi untuk mengikat luka tersebut. Adakalanya anda akan melihat benang tersebut mula tercabut dengan sendirinya.

Apa Kepentingan Jagaan Luka Perineum?
Penjagaan luka di perineum amatlah dititiberatkan dalam tempoh berpantang. Ini adalah untuk mengurangkan risiko luka tersebut mendapat jangkitan. Di samping itu juga ia boleh membantu dalam memberi keselesaan kepada anda serta mengurangkan kesakitan di Kawasan berkenaan.

Langkah-Langkah Yang Boleh Membantu Dalam Penyembuhan Luka Perineum
Di sini terdapat beberapa langkah yang perlu anda lakukan demi untuk memastikan luka anda sembuh dengan cepat tanpa sebarang komplikasi. Kawasan perineum perlu dibersihkan setiap kali anda membuang air kecil atau air besar. Selepas itu, anda perlu memastikan kawasan luka tersebut kering. Ini adalah kerana kawasan yang lembab akan menyebabkan pembiakan bakteria.

Sumber foto: www.freepik.com

Pastikan tangan dicuci dengan bersih. Cara mencuci adalah dari depan ke belakang untuk mengelakkan dari kuman di kawasan rektum merebak ke bahagian hadapan. Begitu juga dengan selepas membuang air kecil, kawasan perineum perlu dicuci dengan bersih dan dikeringkan. Untuk mengurangkan rasa sakit, pada awalnya selepas bersalin, anda boleh menggunakan pek ais untuk memberi keselesaan.

Di samping itu, anda boleh menggunakan bantal untuk duduk. Sekiranya doktor ada memberi ubat tahan sakit, anda perlu mengambilnya demi membantu untuk mengurangkan rasa sakit, sekaligus memberi keselesaan pada anda.

Pad perlu ditukar sekurang-kurangnya 4 jam untuk memastikan kawasan perineum adalah bersih dan mengurangkan risiko mendapat jangkitan di kawasan tersebut.
Ketegangan juga boleh menyebabkan anda merasa kurang selesa. Langkah mengurangkan ketegangan adalah anda perlu untuk mengelakkan kawasan tersebut menjadi tegang.

Contohnya apabila anda duduk bersilang kaki. Ini akan menambahkan ketegangan di kawasan perineum atau kawasan luka di perineum. Cuba elakkan daripada meneran atau mengangkat barang-barang yang berat sebab ini boleh menyebabkan ketegangan.

Bersin juga boleh menyebabkan kawasan perineum mengalami ketegangan. Anda dinasihatkan untuk tidak menambahkan tekanan pada kawasan perineum seperti menggunakan tampon atau melakukan douches sebab ia dikhuatiri akan menyebabkan tekanan pada luka. Di samping itu, anda dilarang melakukan hubungan seks sebelum pulih sepenuhnya, sebab tekanan ke atas kawasan tersebut boleh menyebabkan luka semula di kawasan tersebut.

Baca Juga:

Ada Banyak Jenis Posisi Bayi Dalam Kandungan, Ini Yang Pakar O&G Kongsikan!

Makanan Terbaik Untuk Ibu Hamil, Bagus Untuk Tumbesaran Bayi!

Ada Sebab Kehamilan Rapat Tidak Digalakkan, Doktor Ini Kongsikan Bahaya Yang Mungkin Berlaku

Melakukan senaman otot lantai pelvik dengan kerap boleh membantu mengurangkan bengkak serta menggalakkan penyembuhan luka atau tempat jahitan di perineum.
Jangkamasa luka sembuh juga bergantung kepada jenis kekoyakan bahagian perineum ketika bersalin. Sekiranya tahap 3 atau 4, ianya akan mengambil masa yang lama berbanding tahap 1 atau 2.

Faktor Menggalakkan Penyembuhan Luka
Pemakanan yang tinggi protein vitamin adalah perlu untuk menggantikan sel-sel yang tercedera ketika proses kelahiran. Anda perlu memakan makanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan untuk mengelakkan ketegangan pada perineum atau meneran ketika membuang air besar.

Di samping itu, anda boleh menggunakan air ring atau pelampung atau bantal lembut ketika duduk untuk mengurangkan rasa tidak selesa akibat hujung benang yang mencucuk di kulit anda.

Sumber foto: www.freepik.com

Pemantauan atau pemerhatian ke atas luka setiap hari adalah penting untuk mengesan tanda-tanda jangkitan pada luka perineum. Untuk langkah ini, anda boleh menggunakan cermin kecil melihat proses penyembuhan.

Di samping itu anda boleh melakukan senaman kegel untuk menggalakkan proses penyembuhan. Selain dari itu, ia juga menggalakkan pengaliran darah ke kawasan perineum dan ini membolehkan luka cepat sembuh.

Anda juga dilarang meletakkan losyen , krim atau apa-apa bahan di tempat luka, dikuatiri ia boleh menyebabkan jangkitan kuman. Ada juga sebelum ini, yang meletakkan bahan-bahan herba seperti serbuk manjakani untuk menggalakkan penyembuhan.

Tanda Jangkitan Dan Langkah Seterusnya Sekiranya Ada Tanda Jangkitan
Tanda-tanda jangkitan seperti bengkak, kemerahan, rasa berdenyut-denyut, atau mencucuk di kawasan luka, ada nanah, luka berbau busuk. Sekiranya ada tanda tanda tersebut atau anda rasa seperti tanda-tanda nak mengalami demam, menggigil, anda boleh mendapatkan rawatan segera di klinik yang berdekatan.

Beritahu apa tanda-tanda yang anda alami. Pemeriksaan teliti akan dijalankan dan rawatan lanjut akan diberikan. Jangan risau, yang penting adalah dapatkan rawatan awal, supaya jangkitan tidak merebak.

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply