Flat Pandan Mewah lubuk warga asing digempur

Kawasan Flat Pandan Mewah di sini, yang menjadi lubuk warga asing digempur, pada Selasa.

AMPANG – Kawasan Flat Pandan Mewah di sini, yang menjadi lubuk warga asing digempur, pada Selasa.

Serbuan bermula jam 6 petang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Sinar Harian yang menyertai operasi itu mendapati Pasukan Gerakan Am (PGA) serta anggota dan pegawai PDRM mengepung dan mengadakan sekatan jalan raya di sekitar kawasan 12 blok flat berkenaan.

Antara warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu di Flat Pandan Mewah.

Anggota dan pegawai JIM Selangor pula mengadakan pemeriksaan di setiap unit yang didiami oleh warga asing.

Sementara itu, Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya menahan 119 pendatang tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu itu.

“Kita telah memeriksa 400 warga asing dan kesemua yang ditahan terdiri daripada 89 warga Myanmar, 14 warga Bangladesh, lapan warga Nepal dan masing-masing empat warga Indonesia dan India berumur 18 hingga 50.

“Kebanyakan yang ditahan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (C) akta sama, kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan pada Selasa.

Khairrul Aminus berkata, seramai 438 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut.

“Operasi itu dijalankan hasil aduan orang ramai dan risikan yang dilaksanakan selama seminggu.

“Kita akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara,” tegasnya.

Antara warga asing yang ditahan dibawa ke Dewan MPAJ untuk pemerikasaan lanjut. Foto ihsan MPAJ

Khairrul Aminus turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi pendatang atau perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Penguatkuasaan MPAJ, Mohammad Farhan Hakim Mohd Ropi berkata, dalam operasi itu sebanyak lima premis diperiksa.

“Kita telah menyita barangan di dua premis kerana menggajikan warga asing yang tidak mempunyai permit sah,” katanya.

Terdahulu, penduduk Pandan Mewah, di sini, meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila isu lambakan warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen sah selain pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Berikutan itu, wartawan Sinar Harian telah membuat tinjauan di kawasan penempatan itu bagi memastikan dakwaan terbabit.

Tinjauan mendapati, penempatan itu merangkumi 12 blok flat selain terdapat beberapa premis perniagaan termasuk kedai makan, kedai runcit dan kedai cuci kenderaan.

Anggota penguat kuasa MPAJ melaksanakan pemeriksaan di sebuah kedai. Foto ihsan MPAJ

Kawasan itu turut dilengkapi dengan padang permainan, namun tinjauan mendapati lokasi itu ibarat dikuasai ‘orang luar’ terutama di waktu petang seawal jam 5 petang.

Ada yang berniaga pakaian, makanan dan peralatan dapur seperti pinggan, periuk dan mangkuk.

Dipercayai ada antara warga asing itu yang tidak memiliki dokumen sah, mereka seperti bebas bergerak selain bekerja di premis kedai dan menjual barangan di kaki lima.

Ends


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply