JPNS lepas hampir sejuta benih ikan, udang tambah stok ikan asli

Jalaluddin pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Rabu.

SEREMBAN – Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) melepaskan sebanyak 26 kali atau 907,600 benih ikan dan udang di seluruh negeri melibatkan kos bernilai RM163,900 setakat tahun ini.

Exco Kanan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia bagi menambah stok ikan asli di perairan umum terutama di sungai-sungai sekali gus mengatasi masalah kehadiran ikan asing yang menjejaskan habitat.

“JPNS meminta mana-mana pihak melaporkan aktiviti melepaskan ikan asing ke perairan sungai atau menggunakan cara menangkap ikan yang terlarang seperti menuba, mengaran, memanah, dan mengebom.

“Kita juga melakukan pelbagai program inventori perikanan untuk mengenal pasti spesies ikan di perairan umum,” katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Yap Yew Weng (PH-Mambau) mengenai usaha JPNS untuk mengatasi masalah kehadiran ikan asing bagi mengekalkan biodiversiti ekosistem serta memastikan kesinambungan sumber perikanan untuk generasi akan datang.

Katanya, selain itu, nelayan darat diminta memaklumkan kepada JPNS sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menjurus kepada ancaman populasi ikan asli di perairan sungai.

“JPNS sentiasa melakukan program inventori dan memburu ikan asing dengan kerjasama beberapa pihak bagi menghapuskan populasi ikan bandaraya di perairan Negeri Sembilan selain menangkap ikan itu untuk berbagai keperluan seperti baja kompos dan makanan ternakan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Yew Weng mengenai langkah yang perlu diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan ikan tersebut tidak lagi mencemari sungai Negeri Sembilan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply