ALOR SETAR – Kedah bersetuju dengan cadangan agar Langkawi menjadi penutup Le Tour De Langkawi diadakan di Langkawi sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama kementerian berkaitan tidak lama lagi.
Beliau memaklumkan, sebelum ini, cadangan Langkawi menjadi penutup kepada acara berprestij terbabit telah dibincangkan bersama Pegawai Daerah Langkawi.
“Le Tour De Langkawi kebiasaannya bermula di Langkawi, tetapi kita mengambil kira tentang keadaan masa terlalu singkat untuk pelumba dan petugas-petugas berada di Langkawi.
“Jadi, kita mengambil kira atas kapasiti itu,kita mengambil kira cadangan agar penutup Le Tour De Langkawi (diadakan) di Langkawi,”katanya ketika sesi pergulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, acara pembukaan perlumbaan basikal berprestij di benua Asia terbabit boleh dilakukan di mana-mana lokasi,namun penutupnya mesti dilaksanakan di Langkawi.
Muhammad Radhi menyifatkan, cadangan supaya penutup acara perlumbaan terbabit diadakan di Langkawi ini bermanfaat kepada pelbagai pihak khususnya Kedah sempena TMK 2025.
Beliau memaklumkan, cadangan terbabit telah dibawa ke peringkat Mesyuarat Exco Kedah dan mendapat persetujuan semua pihak.
“Kita harap cadangan ini dipertimbangkan di pihak kementerian dan saya berterima kepada Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah membangkitkan perkara ini di Parlimen supaya isu dibawa akan didengari pihak pusat,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.