IPOH – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan sekumpulan lelaki yang terlibat dalam kes samun barang kemas di hadapan sebuah premis di Jalan Bendahara di sini pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu telah dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian menggunakan telefon bimbit.
Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek berjaya melarikan beg berisi barangan kemas seberat 4.1 kilogram bernilai lebih RM1.54 juta.
“Semakan awal mendapati, kesemua suspek terdiri daripada lelaki bersenjatakan parang menggunakan topeng muka bagi mengaburi pengecaman.
“Mereka melarikan diri menaiki tiga kenderaan iaitu kereta jenis Volvo putih, BMW berwarna coklat dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima hitam dengan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, kejadian itu melibatkan mangsa, dua lelaki yang baru keluar dari premis pemprosesan emas tersebut.
Katanya, semasa hendak menyimpan beg dalam but kenderaan, suspek telah meluru dan terus melanggar bahagian belakang kereta mangsa sebelum melarikan barang kemas terbabit.
“Pihak forensik telah menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian bagi mendapatkan bukti dan barang kes berkaitan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sinar Harian melaporkan emas seberat tiga kilogram dilarikan enam lelaki bertopeng dalam kejadian samun di hadapan sebuah premis pemprosesan emas di Jalan Bendahara di sini pada Selasa.
Kejadian berlaku semasa pemilik premis mahu masuk ke kenderaan dipercayai bagi menghantar barangan kemas kepada pelanggan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.