SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerima cadangan untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas dasar kesetiaannya terhadap parti.
Mohamed Azmin berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan perkara tersebut dalam Persidangan Khas Bersatu di Selayang sekitar Julai tahun ini.
“Apabila kita bahaskan perkara peralihan kepimpinan perlu dilakukan secara harmoni maka dalam sidang media tersebut presiden ada melontarkan cadangan untuk saya dilantik sebagai Setiausaha Agung (Bersatu).
“Lanjutan daripada kenyataan tersebut memang kita ada beberapa siri perbincangan dan saya telah menyatakan kepada presiden kesediaan saya untuk membantu presiden dan Majlis Pimpinan Parti Bersatu untuk memperkukuhkan parti,” ujarnya pada Selasa.
Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan Sinar Harian berkata, beliau sudah berbincang dari ‘hati ke hati’ dengan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Hulu Kelang itu dan pelantikan jawatan itu telah dipersetujuinya.
Dilaporkan sebelum ini, Mohamed Azmin menolak tawaran jawatan berkenaan kerana mahu fokus kepada Perikatan Nasional (PN) Selangor yang diketuainya dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut, ADUN Hulu Kelang yang ditemui selepas sesi pagi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu berkata, namun, proses peralihan kepada kepimpinan baharu itu akan hanya berkuatkuasa dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pada hujung minggu ini secara rasminya.
“Ketika ini hanya cadangan yang dibuat oleh presiden di bawah bidang kuasa beliau dan sebagai ahli parti yang setia kepada parti saya bersedia untuk menerima tugas yang berat ini untuk bersama-sama presiden dan kepimpinan parti serta ahli parti untuk membawa Bersatu ke tahap tahap yang lebih cemerlang, Insya-ALLAH,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.