Banjir: Warga emas bina meja setinggi satu meter elak barangan rosak

Zainun menunjukkan meja yang dihasilkan sendiri untuk elak dari banjir

SETIU – Terkesan akibat barangan elektrik yang sering rosak setiap kali rumah dinaiki air, seorang warga emas membelanjakan RM300 untuk menghasilkan meja setinggi satu meter sebagai persiapan banjir.

Menurut Zainun Mohamad, 60, usaha dilakukan itu bertujuan bagi mengurangkan kerosakan barangan rumah termasuk perabot sekiranya rumahnya dilanda banjir besar.

Zainun

“Idea ini tercetus selepas peralatan elektrik dan perabot sering rosak akibat ditenggelami air banjir. Jadi saya mula membina sendiri dua buah meja setinggi kira-kira satu meter dengan bantuan daripada anak lelaki saya.

“Meja ini boleh menempatkan sofa dan barangan lain manakala meja kecil setinggi 0.5 meter pula diletakkan peti sejuk,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Merbau Menyusut di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zainun berkata, dia hanya mengeluarkan kos sebanyak RM30 untuk membeli dua keping papan lapis dan kayu untuk menghasilkan meja tersebut.

Tambahnya, penghasilan meja tersebut mengambil masa tiga hingga ke lima hari untuk disiapkan.

“Sebelum ini peti sejuk di rumah saya telah dua kali tenggelam banjir walaupun rumah berada di kedudukan agak tinggi.

“Namun disebabkan lokasi rumah ini terletak kurang 100 meter dari aliran Sungai Nerus menyebabkan kawasan di sini sering ditenggelami air,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Saloma Deraman, 55, menyatakan hujan lebat sejak awal pagi Isnin menyebabkan paras air sungai meningkat secara mendadak sehingga mengakibatkan kawasan di kampung tersebut ditenggelami banjir.

“Kebiasaan hujan secara berterusan dalam tempoh dua hari barulah air sungai limpah tetapi kali ini berbeza.

“Baru sahaja beberapa jam air sudah mula naik dan penghulu kampung meminta kami untuk berpindah lebih awal ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana laluan dan kawasan rumah penduduk berisiko dinaiki air hampir setinggi dua meter.

“Bagaimanapun keadaan kembali pulih apabila hujan mulai reda sejak tengah malam tadi,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply