PBT Kedah dicadang tutup operasi perniagaan ketika solat Jumaat

Abdul Ghafar berucap ketika sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Selasa.

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad mencadangkan operasi perniagaan pusat beli-belah ditutup seketika pada hari Jumaat di Kedah bagi menghormati waktu solat Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya mendapati operasi perniagaan di kebanyakan pusat membeli belah beroperasi seperti biasa ketika solat Jumaat.

Abdul Ghafar berpandangan, inisiatif berkenaan perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan dalam merealisasikan hasrat menuju ‘The Greater Kedah’.

“(Cadangan) ini kita dapat lakukan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sebab (langkah) ini kita boleh masukkan dalam kontrak yang dinyatakan.

“Memang, orang yang kerja dalam pusat membeli belah, pasar raya ataupun kedai serbaneka dan sebagainya adalah golongan wanita, tetapi (individu) yang membeli ketika waktu Jumaat adalah kaum Adam. Cukup menyedihkan,” katanya ketika sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Tambahnya, ada sebilangan lelaki dikhuatiri berebut-berebut meletakkan kereta di kawasan masjid namun bukanlah untuk menunaikan ibadah.

“Bukan hendak pergi sembahyang, (sebaliknya) hendak pergi membeli belah,”katanya.

Sehubungan itu, Abdul Ghafar memohon agar langkah menutup operasi perniagaan di pusat membeli belah ketika solat Jumaat dilaksanakan Kedah.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply