ISKANDAR PUTERI – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengenal pasti 26 sekolah di Johor yang mempunyai kesukaran pelaksanaan solat Jumaat atas beberapa faktor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebanyak 15 sekolah dikenal pasti di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan bakinya di bawah JAINJ.
Menurut beliau, menerusi mesyuarat dan sesi libat urus berhubung permasalahan itu, Jabatan Mufti Johor mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat di Sekolah bagi penyelesaian isu terbabit.
“Sebanyak 15 buah sekolah di bawah JPNJ dan sejumlah 11 buah sekolah di bawah JAINJ dari pelbagai daerah mengalami sedikit kesukaran dan sekolah yang terlibat telah memohon kebenaran jabatan mufti agar surau sekolah mereka atau surau kariah yang terletak berhampiran dengan sekolah mereka dinaik taraf menjadi Surau Jumaat.
“Ia membabitkan sekolah yang jaraknya melebihi radius tiga kilometer (km) dari kawasan masjid, jumlah murid dan guru Islam yang ramai dan sekolah yang tidak mempunyai penempatan penduduk serta kemudahan untuk murid menunaikan solat Jumaat di kawasan sekitar.
“Jabatan Mufti Johor telah memutuskan beberapa kriteria pelaksanaan Solat Jumaat di sekolah kepada Pejabat Kadi Daerah dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor akan membuat keputusan berkenaan dengan permohonan tersebut sama ada wajar diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, pada Selasa.
Mohd Fared (BN-Semerah) berkata demikian menjawab soalan Abdul Aziz Talib (Pas-Maharani) mengenai langkah terkini dan persediaan kerajaan negeri Johor bagi memudahkan pelaksanaan solat Jumaat kepada pelajar-pelajar sekolah dan umat Islam di negeri Johor bermula 1 Januari 2025.
Menurut Mohd Fared, Dasar Kebenaran Solat Jumaat itu memerlukan pemohon untuk mendapatkan dahulu sokongan dari Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau berdekatan, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Islam Daerah dan Kadi Daerah.
Katanya pemohon juga perlu memastikan tempat yang dicadangkan itu memenuhi hukum syarak.
“Iaitu berupaya memenuhi sekurang-kurangnya 12 orang jemaah lelaki baligh yang bermastautin dari kalangan kakitangan, pelajar atau ahli kariah, bukan dewan terbuka yang boleh mencemarkan kesucian tempat tersebut dan bukanlah tempat yang dicampur adukkan dengan program dan aktiviti-aktiviti sekolah yang tidak selari dengan hukum syarak.
“Walau bagaimanapun, bagi kawasan yang memiliki beberapa sekolah yang bersebelahan antara satu sama lain, hanya satu sekolah yang memiliki kriteria boleh membuat permohonan dengan disertakan sokongan sekolah yang berhampiran,”ujarnya.
Memperincikan secara lanjut, Mohd Fared berkata kriteria yang perlu dipenuhi ada dua bahagian iaitu bahagian kemudahan dan pentadbiran.
Katanya, pentadbiran sekolah perlu mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Surau dengan mencadangkan kakitangan yang berkelayakan sebagai Pegawai Surau (Imam dan Bilal) yang perlu mendapat tauliah dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Jawatankuasa Fatwa akan memutuskan sama ada permohonan sekolah itu diterima atau tidak. Bagi surau sekolah yang diterima, Jawatankuasa Fatwa saja yang boleh memutuskan sama ada surau sekolah itu dinamakan sebagai Surau Jumaat atau Musolla Jumaat.
“Bagi Surau Jumaat, pelaksanaan solat lima waktu dan aktiviti pengimarahan surau hendaklah dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Surau Sekolah sebagaimana Surau Jumaat yang lain,” katanya.
Pada Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di negeri itu akan ditukar semula daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan pandangan JAlNJ.
Susulan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, penyelarasan semula cuti hujung minggu itu akan membabitkan lebih 4.1 juta rakyat negeri itu termasuk 587,343 pelajar dan 1.948 juta pekerja.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.