Sindiket guna peranti BTS sebar SMS palsu tumpas

Ramli menunjukkan peralatan dan kenderaan yang dirampas.

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket yang aktif menyebarkan mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) menggunakan teknologi Base Transceiver Station (BTS) palsu terbongkar, susulan empat lelaki ditahan sekitar Lembah Klang pada 19 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, empat lelaki tempatan yang berusia 39 hingga 46 tahun itu berperanan sebagai penyelia, pembantu penyelia, pemandu dan operator untuk peranti BTS palsu.

Ramli menunjukkan peralatan yang dirampas.

“Siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah membawa kenderaan utiliti sukan (SUV) bersama peranti BTS palsu ke lokasi tumpuan orang ramai yang kemudiannya secara automatik menyebarkan SMS palsu kepada nombor telefon individu di kawasan sekitar.

“SMS yang dihantar akan kelihatan seperti SMS tulen daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang sah sehingga mengelirukan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya akan diberikan pautan dan diminta mengisi beberapa butiran penting termasuk maklumat perbankan dan nombor One Time Password (OTP).

“Tangkapan kesemua individu itu dilaksanakan selepas kita mendapat laporan daripada seorang lelaki berusia 30 tahun yang menerima SMS daripada sebuah syarikat telekomunikasi mendakwa dia mempunyai mata terkumpul untuk menebus barang,” katanya.

Beliau berkata, selepas mangsa mengisi maklumat melalui pautan yang diberikan sindiket, dia mendapati wang kira-kira RM1,500 di dalam akaun miliknya telah hilang.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan SUV, pelbagai peralatan teknologi seperti modem wifi, bateri, wayar penyambut dan sembilan unit telefon bimbit dipercayai digunakan sindiket tersebut.

“Kita mendapati sindiket terbabit mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya 12 kes yang melibatkan nilai kerugian kira-kira RM116,271,” katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis percaya dapat menyelamatkan kira-kira 32,000 pengguna harian telekomunikasi seluruh negara daripada ancaman penyebaran SMS palsu yang berpotensi mengakibatkan kerugian wang ringgit.

“Siasatan terhadap empat lelaki terbabit diteruskan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, setakat ini pihaknya sebelum ini ada menerima laporan mengenai penggunaan teknologi BTS palsu dan ini merupakan kes kedua membabitkan penggunaan kenderaan dalam menyebarkan SMS palsu.

“Kenderaan yang digunakan sindiket ini dapat menyebarkan SMS palsu dalam radius kira-kira 500 meter hingga satu kilometer dengan teknologi tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk tidak memasukkan sebarang pautan dalam SMS berkuat kuasa pada 3 Mei lalu.

“Ramai pengguna tidak sedar sekiranya dapat SMS yang ada pautan (link), itu adalah palsu,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 236 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Peraturan 16(1)(b) Peraturan Peraturan Komunikasi dan Multimedia (PPKM) (Standard Teknik) 2000 Peraturan 34(5)(c) PPKM (Standard) 2000.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply