KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan menyerahkan sepenuhnya cadangan parti itu menyasarkan bertanding lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan (WP) kepada pucuk pimpinan kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan UMNO WP, Gulam Muszaffar berkata, keputusan itu biarlah ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ketua parti masing-masing bagi membuat keputusan kelak.
Menurut beliau, perkara itu masih dalam peringkat cadangan dan perlu dibawa ke meja rundingan sebelum keputusan mengenainya dibuat.
“Berunding belum pasti berjaya, tetapi tidak salah untuk berunding untuk meletakkan cadangan (BN) bertanding di lima kerusi Parlimen.
“Apa-apa pun keputusan kelak, kita perlu akur dan bersedia untuk menghadapi PRU16 seperti apa yang telah diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan berikrar tidak akan memberikan laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi Parlimen yang telah dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 lalu.
Mengulas lanjut, Gulam berkata, BN WP bertindak secara matang dan profesional, selain tidak melatah seperti yang ditunjukkan AMK dan Ahli Parlimen DAP yang membuat kenyataan media secara terbuka.
“Ini menampakkan keikhlasan BN dalam mewujudkan kestabilan politik di WP dengan mengimbangi komposisi parti-parti kedua-dua belah pihak kelak.
“Mengapa AMK dan beberapa Ahli Parlimen DAP tidak puas hati?. Bukan mereka yang tentukan agihan kerusi kelak,” ujar beliau.
Tambah beliau, agihan kerusi di Parlimen WP akan ditentukan di dalam Majlis Presiden atau Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang disertai oleh semua Ketua atau Presiden parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya rasa AMK WP dan beberapa Ahli Parlimen DAP menolak pintu rundingan untuk agihan kerusi Parlimen telah terkena badi empat penyakit yang Pengerusi BN WP, Datuk Seri Johari Abdul Ghani katakan di dalam konvensyen BN WP baru-baru ini,” tambah beliau.
Konvensyen BN WP di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad lalu membuat ketetapan untuk mengekalkan tiga kerusi kepada BN untuk bertanding iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, parti itu menyasarkan untuk bertanding lima kerusi Parlimen di WP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, katanya, BN akan membincangkan perkara itu dengan rakan parti dalam kerajaan.
WP ketika ini mempunyai 13 kerusi Parlimen yang mana pada PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang 10 manakala dua lagi Perikatan Nasional (PN) dan BN (satu).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.