Samsung, syarikat teknologi terkemuka dari Korea Selatan cukup terkenal untuk pelbagai produk elektrik dan elektronik mereka, dan juga pelbagai komponen komputer yang digunakan pada pelbagai lapisan masyarakat.
Syarikat tersebut juga terkenal untuk panel paparan mereka, dan terkini, dilaporkan sedang membangunkan sebuah paparan skrin OLED yang akan hadir dengan kadar segar semula setinggi 500Hz. Butiran yang diketahui mengenai paparan ini ialah selain daripada menggunakan panel QD-OLED mereka sendiri, ia juga akan hadir dengan saiz panel 27 inci dan hadir dengan resolusi 1440p (2560×1440).
Penggunaan panel QD-OLED dilihat membantu dalam memaparkan olahan warna yang bukan sahaja lebih jitu, tetapi juga terang, dan dengan teknologi sedia ada, membolehkan Samsung untuk menawarkan kadar segar semula yang secara lazimnya akan dimanfaatkan oleh komputer gaming berprestasi tinggi, ataupun konsol-konsol permainan video moden seperti Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X.
Samsung dijangka akan memperkenalkan paparan skrin QD-OLED dengan kadar segar semula tinggi ini pada pertengahan tahun hadapan, dan tidak mengejutkan sekiranya ia ditawarkan dibawah siri model Samsung Odyssey yang sangat digemari oleh golongan gamer bangsawan.
Malah ia juga tidak mengejutkan sekiranya kita dapat melihat paparan skrin gaming QD-OLED dengan resolusi setinggi 4K dan masih tampil dengan kadar segar semula setinggi 120Hz ataupun 240Hz pada tahun hadapan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.