JOHOR BAHRU – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri pada 16 November lalu.
Tertuduh S Nageshvaran, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nor Farhana Mohd Ishak.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu sebuah Perodua Alza dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 170 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian seorang pembonceng motosikal, Linda Mohd A Aziz.
Sementara pertuduhan kedua, dia juga didakwa memandu kenderaan sama dengan kandungan alkohol sama dalam badan dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, Mohamad Redzwan Mohd Rusdi.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Mesjid, Pusat Bandar Pasir Gudang, kira-kira jam 4.15 pagi, 16 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor S Vikineswary manakala tertuduh diwakili K Sarawanakumar.
Pegawai Pendakwa memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh selain perlu melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan, lesen memandunya digantung selain pasportnya diserah pada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua dan sakit selain empat adik-beradiknya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan, lesen memandunya digantung selain pasportnya diserah pada mahkamah.
Kes ditetapkan pada 14 Januari untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada 16 November, Mohamad Redzwan, 37, dan isterinya, Linda, 35, dilaporkan maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar-Jalan Mesjid, Pasir Gudang, kira-kira 4.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, kejadian pada jam 4 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario yang dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.
“Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati pemandu Perodua Alza telah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras yang ditetapkan,” katanya.
Insiden berkenaan mengakibatkan lima anak pasangan terbabit, Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3, menjadi yatim piatu dan kini dijaga datuk, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61, dan neneknya, Ramlah Kasiran, 56.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.