Batuk, Bersin, Menguap Ketika Baca Rukun Qauli Boleh Sebabkan Solat Batal. Ini Penjelasannya

Masalah batuk antara yang selalu kita alami, namun ia tidaklah menjadi penghalang kita untuk melakukan solat.

Bagaimanapun kita harus hati-hati juga kerana masalah batuk ini boleh menyebabkan solat seseorang itu terbatal.

Bagaimana batuk boleh membatalkan solat

Batuk yang menjadi sebab batal atau tidak sahnya solat ialah batuk ketika membaca rukun qauli iaitu batuk ketika takbiratul ihram dan batuk ketika membaca fatihah dan batuk ketika membaca tahiyat akhir dan batuk ketika memberi salam.

Sebagai contoh batuk ketika membaca fatihah. Jika batuk berlaku selepas selesai membaca satu ayat seperti selesai membaca Alhamdulillahi Rabbil ‘Almiin lalu dia terbatuk maka batuk seperti ini tidak memudaratkan bacaan. Dia hanya perlu menyambung bacaan Ar-Rahmani -Ar-Rahiim selepas batuknya itu.

Begitulah dikiaskan dengan ayat-ayat yang seterusnya.

Ada pun jika batuk ketika sedang membaca satu ayat dan sebelum selesai membacanya lalu dia terbatuk maka wajiblah diulangi bacaan ayat tersebut kerana bacaan itu tidak sempurna bunyi sebutannya kerana dicelahi dengan bunyi batuk.

Jika tidak diulanginya bacaan yang tidak sempurna itu lalu dia rukuk maka batal solatnya kerana berpindah dari qiam kepada rukuk tanpa membaca fatehah dengan betul.

Sama juga keadaan jika terbersin atau menguap di tengah bacaan, kita harus ulang semula. Sekiranya kita biarkan terputus, solat boleh menjadi batal.

Bagaimanapun sekiranya seseorang itu batuk pada bacaan surah yang sunat maka sunat ulangi bacaan tersebut dan jika tidak diulanginya bacaan yang sunat itu maka solatnya tidak batal kerana bacaan surah itu hanyalah sunat bukannya rukun.

Dan harus seorang yang sedang membaca bacaan yang sunat bahawa dia tinggalkan membacanya sebab batuknya itu.

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Sa’id r.a. menceritakan:

صَلَّى لَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصُّبْحَ بِمَكَّةَ فَاسْتَفْتَحَ سُورَةَ الْمُؤْمِنِينَ حَتَّى جَاءَ ذِكْرُ مُوسَى وَهَارُونَ أَخَذَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَعْلَةٌ فَرَكَعَ

Ertinya : “Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah menjadi imam bagi kami dalam solat fardu subuh di Mekah maka baginda memulai (selepas fatehah) dengan membaca surah Al-Mu’minun sehingga sampai kepada ayat yang menyebut kisah Nabi Musa dan Harun. Kemudian telah mengenai akan Nabi sollallahu alaihi wasallam oleh batuk lalu Nabi sollallahu alaihi wasallam pun rukuk.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Berkata Imam Nawawi yang maksudnya :

“Hadith ini menjadi dalil bahawa dibenarkan menghentikan bacaan (surah) dan tidak makruh yang demikian itu jika seseorang itu berhenti dengan ada sebab.” (Kitab Syarah Muslim)

Jadi terjawab sudah bahawa batuk di dalam solat tidak membatalkan solat kerana bukan dengan sengajanya dia batuk dan mengeluarkan bunyi.

Yang jadi batal solat ialah apabila bacaan yang wajib tidak disebut dengan sempurna dengan sebab seseorang itu batuk dan tidak dia ulangi membacanya dengan betul dan seperti demikian juga hukumnya dikiaskan dengan batuk itu dengan berdehem dan sendawa dan bersin dan menguap.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply