Berita hangat melanda dunia Formula 1 apabila General Motors (GM), jenama automotif terkemuka dari Amerika Syarikat. Secara rasmi diberi lampu hijau untuk menyertai grid Formula 1 bermula musim 2026.
Pasukan ini akan dikenali di bawah jenama Cadillac, menambah satu lagi nama besar dalam sukan perlumbaan paling berprestij di dunia.
Perjalanan Bermula
Dalam pengumuman bersama antara Formula 1 dan General Motors. Pasukan Cadillac akan berfungsi sebagai pasukan pelanggan pada peringkat awal penyertaan mereka. Walau bagaimanapun, GM telah menyatakan komitmen untuk membangunkan unit kuasa mereka sendiri menjelang akhir dekad ini, menjadikan mereka sebuah pasukan “full works” yang lengkap dengan teknologi dalaman.
Langkah ini dilihat sebagai usaha besar-besaran GM untuk memantapkan jenama Cadillac di peringkat global, terutama dalam sukan Formula 1 yang semakin berkembang pesat di Amerika Syarikat.
Menurut Greg Maffei, CEO Liberty Media yang bakal berundur, “Formula 1 yang terus berkembang di Amerika Syarikat akan mendapat nilai tambah besar dengan kehadiran jenama sehebat GM dan Cadillac di grid.”
Perancangan dan Sumber
GM tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Mereka akan bekerjasama rapat dengan TWG Global. Entiti yang memiliki dan mengurus Andretti Global, Wayne Taylor Racing, dan Spire Motorsports.
Pasukan ini akan memanfaatkan kemudahan sedia ada Andretti Global di Amerika Syarikat dan Silverstone, England. Menariknya, Mario Andretti, legenda Formula 1 dan juara dunia terakhir dari Amerika Syarikat, akan turut memainkan peranan penting sebagai ahli lembaga pengarah pasukan ini.
Kerjasama ini turut menjadi penyelesaian kepada isu yang timbul sebelum ini. Sebelum ini, permohonan Andretti Global yang disokong Cadillac ditolak oleh FIA. Dipercayai disebabkan ketegangan antara bekas CEO Michael Andretti dan pihak pengurusan Formula 1. Dengan nama Andretti kini tidak lagi menjadi fokus utama dalam permohonan GM, laluan ke grid Formula 1 menjadi lebih lancar.
Impak kepada Formula 1
Kehadiran Cadillac dalam Formula 1 bukan sahaja menjadikan mereka pasukan ke-11 di grid, tetapi juga dijangka membawa impak besar kepada sukan ini. Bukan sekadar jenama baru, tetapi sebagai simbol pertumbuhan Formula 1 di pasaran Amerika Syarikat.
Selain itu, janji GM untuk membangunkan teknologi unit kuasa sendiri bakal mencabar pasukan besar lain seperti Mercedes, Ferrari, dan Red Bull. Ia juga memberikan harapan kepada peminat yang ingin melihat lebih banyak inovasi dalam sukan ini.
Dengan semua perancangan dan sokongan yang telah diatur, dunia Formula 1 pastinya tidak sabar menyambut kehadiran pasukan Cadillac. Tahun 2026 dijangka menjadi titik perubahan besar bagi sukan ini, terutama dengan penglibatan jenama seperti General Motors.
Dari Car and Driver
Baca Juga Toyota Kembali ke Formula 1 Bersama Haas
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.