Rangkul Tokoh Pelajar Cemerlang Di Sekolah Cina, Calon SPM Bolot 5 Anugerah!

Seorang pelajar lelaki, Ahmad Khidir Ahmad Nazri menjadi inspirasi ramai apabila dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Cemerlang ketika majlis penganugerahan di salah sebuah sekolah cina.

Ahmad Khidir yang bersekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee, George Town, Pulau Pinang ini menggondol lima anugerah cemerlang dalam majlis penganugerah itu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh kakak Khidir di laman TikToknya, dia meluahkan rasa bangga kerana adiknya berjaya membolot lima jenis anugerah termasuklah timbalan ketua pengawas, menduduki tempat pertama di kelas dan tingkatan serta terbaik matapelajaran.

Melalui video yang dikongsikan itu, dapat dilihat Khidir merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang berulang kali naik ke pentas untuk menerima penghargaan telah membuatkan netizen kagum dengan pencapaiannya.

“So proud of you brother! Fly high and higher,” ujar Fatimah Azzahra ringkas di ruangan kapsyen.

Biarpun terpaksa bersaing dengan masalah bahasa namun ia bukan satu halangan kepada anak muda ini untuk cemerlang.

Malah Khidir menerusi satu sesi temubual di salah satu stesyen radio, meluahkan rasa bangganya atas pencapaian itu.

Ujarnya lagi, idea untuk bersekolah di sekolah Cina merupakan usaha ibu dan kakak sulungnya yang mahu dia menguasai bahasa itu dengan baik dan dia paling bersyukur kerana berjaya merealisasikan impian keduanya dengan baik.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan ucapan tahniah dan berbangga dengan kejayaan Khidir yang secara tidak langsung menaikkan semangat pelajar Melayu untuk berjaya dalam pendidikan.

Dalam pada itu, Khidir berterima kasih kepada orang ramai atas doa yang diberikan dan menyeru kepada pelajar di luar sana untuk belajar bersungguh-sungguh demi membanggakan keluarga serta guru.

“Terima kasih semua orang atas doa dan teguran. Tolong doakan SPM saya terus cemerlang ya! Dan saya doakan calon-calon SPM yang lain berjaya dengan cemerlang juga. Jom kita sama-sama banggakan ibu bapa dan guru,” ujarnya.

Sumber: TikTok @Fatimahazzahra


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply