KETIKA cuti hujung minggu lalu, rakan Merak Jalanan mengajak untuk menikmati cendol di sebuah gerai di tepi kampung di Puchong.
Banyak perkara yang kami sembangkan namun, rakan Merak Jalanan ini tidak henti-henti menyuarakan rasa kagum terhadap rakyat Singapura setelah menghadiri kursus selama lima di negara itu.
Katanya, itu kunjungan kali keduanya selepas kali pertama beberapa tahun lalu namun sebelum ini hanya sebagai lokasi transit untuk menaiki kapal persiaran menuju ke Phuket.
Namun permusafiran hampir seminggu ke Singapura kali ini kata rakan Merak Jalanan itu benar-benar membuka matanya bagaimana membentuk disiplin dalam diri.
“Di sana tak kira kita siapa kalau makan di kedai makan atau medan selera kena bersihkan sendiri meja dengan meletakkan pinggan, mangkuk serta cawan di rak yang disediakan,” katanya.
Lebih luar biasa apabila rakan Merak Jalanan yang merupakan perokok tegar ini terpaksa berjalan kaki beberapa ratus meter untuk merokok di tempat khas.
Malah disebabkan vape diharamkan di Singapura dia juga terpaksa ‘berpuasa’ daripada menghisap rokok elektronik di negara berkenaan.
Bukan itu sahaja, rakan Merak Jalanan itu juga beritahu pemandu kenderaan di negara itu juga ‘sangat berhemah’ dan berhati-hati terutama jika melihat pengguna jalan raya melintas jalan.
Ia sangatlah berbeza di negara ini apabila orang alim dan lemah lembut pun boleh tiba-tiba bertukar jadi panas baran.
Bab dakwaan mengatakan rakyat Singapura antara warganegara paling mematuhi undang-undang di dunia tapi berubah tingkah laku bila berada di negara lain khususnya Malaysia, itu Merak Jalanan tak mahu komen.
Namun sungguhlah bagai dikata, jika peraturan ketat disusuli tindakan penguatkuasaan tegas, tidak mustahil seseorang yang mungkin sebelum ini tidak berdisiplin terus menjadi orang yang berperaturan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.