BEKAS pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengakui berat membuat keputusan untuk meninggalkan kelab tersebut secara rasmi pada Ahad selepas mendapat dukungan pengurusan, pemain dan penyokong yang cukup luar biasa.
Walau bagaimanapun, beliau terpaksa memilih untuk melangkah keluar dan aksi menentang Kuala Lumpur City FC pada Jumaat menjadi perlawanan terakhirnya selaku ketua jurulatih skuad Sang Kenari.
Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak, namun pasti ada pelangi selepas hujan dan pasukan akan terus melakar kejayaan selepas ini.
“Perjalanan bersama keluarga KDA FC sangat indah. Segala suka dan duka ditempuhi bersama demi kejayaan seluruh penyokong hijau kuning. Kenangan di sini sangat sukar untuk saya lupakan.
“Kelab ini luar biasa. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar kerana memberi peluang untuk memacu kelab yang penuh bersejarah ini,” katanya menerusi satu warkah buat keluarga KDA FC dan penyokongnya pada Isnin.
Tambahnya, beliau juga berbangga dengan komitmen semua pemain di dalam padang sehingga ke perlawanan.
Jelasnya, kerjasama yang ditunjukkan sangat membanggakan, tanpa putus asa sehingga ke wisel penamat.
“Berjuanglah sejiwa murni dalam perlawanan akan datang. Terima kasih juga kepada semua pegawai yang memberi komitmen tinggi buat pasukan di belakang tabir dan di padang latihan. Semua sudah saya anggap seperti keluarga sendiri,” ujarnya.
Nafuzi juga mengakui kagum dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong Sang Kenari walaupun kini masih lagi dihimpit dengan masalah namun masih ada yang setia berdiri teguh di belakang pasukan.
Beliau menyifatkan kelompok ini adalah antara penyokong yang hebat demi mempertahankan legasi Kedah Darul Aman dan berharap mereka akan terus berada di belakang pasukan.
“Buat penyokong yang sentiasa menyokong pasukan KDA FC ketika jatuh dan bangun, tiada kata dapat mengungkapkan semangat anda. Terima kasih kerana sentiasa menyokong.
“Akhir sekali, semoga pasukan Kedah Darul Aman FC menjadi kelab yang berjaya suatu hari nanti. Kedah tetap berada dalam hati saya selama-lamanya,” katanya lagi.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Nafuzi sah meletakkan jawatan pada Sabtu dan permohonannya itu telah diterima oleh pihak pengurusan kelab tersebut.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin berkata, permohonan Nafuzi telah diperhalusi dengan mendalam oleh pihak pemilik, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kelab.
Menurutnya, sejak menyertai pasukan pada Disember 2022, Nafuzi telah menunjukkan mutu kerja yang sangat tinggi serta komitmen yang jitu.
Media melaporkan khabar angin melibatkan pengendali tersebut dikatakan bakal menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai pengendali skuad muda negara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.