SHAH ALAM – Semua kementerian dan agensi berkaitan industri pelancongan perlu mengukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjadikan sektor itu sebagai agenda nasional negara yang strategik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut penting dalam memastikan industri pelancongan terus menjadi pemacu utama pembangunan negara.
“Hari ini (Isnin),saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) Bilangan 3 Tahun 2024 di Kompleks Parlimen, Kuala Lumpur. Melalui mesyuarat ini, saya menegaskan kepentingan industri pelancongan dan turut membincangkan beberapa isu penting.
“Ia termasuk pengoperasian bas persiaran, penyelarasan perancangan penginapan sewaan jangka pendek (STRA), perancangan taman kenderaan rekreasi dan pembangunan program inap desa sebagai persiapan menyeluruh bagi menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan, kerajaan menetapkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) perlu mengawal selia pelesenan kenderaan pelancongan berdasarkan empat kriteria utama.
Menurut beliau, kenderaan wajib memiliki lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) yang sah, dipasang dengan sistem global positioning system (GPS), mematuhi had usia kenderaan maksimum 15 tahun dan memastikan pengendali menghadiri latihan Industrial Code of Practice (ICOP) Keselamatan.
Katanya, syarat yang ditetapkan itu bertujuan untuk memastikan pengendali beroperasi secara sah, sekali gus menjamin keselamatan penumpang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan satu garis panduan baharu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Kabinet untuk menyediakan kerangka kerja komprehensif bagi mengawal selia aktiviti STRA di Malaysia.
“Garis panduan ini memastikan pematuhan kepada perundangan semasa, memudahkan proses pelesenan dan menangani isu gangguan komuniti seperti bunyi bising, kekurangan tempat letak kereta, pembuangan sampah serta penyalahgunaan fasiliti bersama.
“STRA yang menyediakan alternatif penginapan mampu milik dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dengan unjuran ketibaan 35.6 juta pelancong menjelang tahun 2026.
“Pengoperasian STRA bakal mewajibkan pemilik premis untuk mendaftar dan mendapatkan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.
Tambah beliau, cadangan mengenai pembangunan sebuah platform digital khusus untuk pengurusan STRA dilaksanakan bagi memastikan daya saing Malaysia dalam sektor pelancongan terus dipertingkatkan.
Katanya, langkah itu juga bertujuan untuk menjaga kesejahteraan komuniti, memastikan keselamatan awam dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Pada masa sama, Ahmad Zahid memaklumkan, Garis Panduan Perancangan Taman Kenderaan Rekreasi (RV Park) pula bertujuan untuk memperkukuh sektor pelancongan Malaysia melalui perancangan strategik dan kawal selia bersepadu.
Jelasnya, inisiatif berkenaan bakal menyediakan kerangka perancangan menyeluruh, termasuk keperluan tapak, pengurusan operasi dan kelulusan pembangunan taman RV dengan lokasi berpotensi di Rompin termasuk Sepang yang dijadikan projek perintis.
“Inisiatif tersebut turut memanfaatkan teknologi melalui platform MYCSRVP (Malaysia Campsite and Recreational Vehicle Park) yang berfungsi untuk meningkatkan ketelusan, memastikan pematuhan standard dan memudahkan pengurusan taman kenderaan rekreasi.
“Langkah ini secara langsung menyokong agenda pelancongan mampan dan memperkasakan ekonomi tempatan. Saya percaya, kerjasama rapat antara kementerian serta agensi adalah amat penting dalam mewujudkan satu ekosistem kondusif untuk pembangunan industri pelancongan negara secara lebih pesat dan berdaya saing.
“Ia juga akan membolehkan sebarang isu yang timbul diatasi segera selain mengelakkan kekeliruan dari segi bidang kuasa, kawal selia dan penguatkuasaan, khususnya dalam menjayakan penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.