WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) sedang merangka pelan kontingensi untuk penempatan tentera di Jepun dan Filipina jika berlaku ‘situasi kecemasan’ di Taiwan.
Agensi berita Kyodo pada lewat Ahad memetik sumber rapat hubungan Washington-Tokyo melaporkan ia melibatkan gabungan di bawah pelan operasi bersama yang akan dirumuskan pada bulan depan.
“Rejimen Marin AS yang memiliki Sistem Peluru Berpandu Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) akan dikerahkan ke sepanjang rantaian Pulau Nansei meliputi dari Kyushu ke Yonaguni berhampiran Taipei,” ujar laporan itu.
Pada fasa awal, pangkalan tentera sementara akan ditubuhkan di pulau sekitar berdasarkan garis panduan tentera AS.
“Unit kecil anggota marin juga akan ditempatkan ke beberapa lokasi di perairan berkenaan. Tentera Jepun akan terlibat dalam sokongan logistik untuk pasukan berkenaan termasuk membekalkan peluru dan bahan api,” jelasnya lagi.
Difahamkan, tentera AS juga bakal mengerahkan Unit Tembakan Jarak Jauh di bawah Pasukan Petugas Pelbagai Domain di Filipina.
Rancangan ‘campur tangan’ di rantau Asia itu diuar-uarkan selepas ketegangan semakin memuncak di Eropah berikutan Perang Ukraine-Rusia kini semakin sengit dan dikhuatiri mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Beijing pada Isnin sekali lagi menegaskan Taiwan sebagai ‘bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah China’.
“Kami menentang keras tindakan negara yang cuba menggunakan isu Taiwan sebagai alasan untuk mengukuhkan penempatan tentera serantau, mencetuskan ketegangan dan konfrontasi serta menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau Asia,” tegas jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning.
Ketika ini, Washington dilihat cuba meluaskan pakatan ketenteraan mereka di Asia Pasifik di tengah-tengah pertelingkahan yang semakin meningkat di Selat Taiwan dan Laut China Selatan. – AFP
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.