Pelakon, Siti Elizad akui kurang selesa dengan sikap segelintir pelakon masa kini yang suka meninggi diri dan berkelakukan seperti ‘diva’ ketika di set penggambaran.
Menurut Elizad, populariti seseorang artis itu tidak akan bertahan lama melainkan mereka menjaga imej dan keperibadian mereka sejak awal pembabitan di dalam bidang seni.
“Saya tak faham dengan sikap segelintir pelakon yang nak memilih bulu. Saya selalu ingatkan diri saya, setiap pelakon ini ada musim-musim mereka. Ketika ini mungkin musim orang lain.
“Saya selalu pesan kepada pelakon-pelakon sekarang, kalau datang ke set dengan perangai seperti diva, 10 tahun lagi anda akan tetap berada di situ ke? Kita tak nak orang cakap perkara yang tidak baik.
“Kalau boleh, apa yang kita tinggalkan sebelum ini, biarlah dengan adab dan rasa hormat. Bila 10 tahun nanti dan kita berlakon semula, orang akan ingin sifat kita yang baik-baik. Kita kena pandai bawa diri,” katanya kepada MH.
Bekas penyampai radio Sinar FM itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara One Astro Fan Fest yang berlangsung di Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada Ahad.
Dalam pada itu, Elizad turut mendedahkan dia tiada masalah untuk bergaul dengan sesiapa sahaja ketika di set penggambaran walaupun tugasan mereka hanya kecil.
“Sejak awal pembabitan di dalam bidang lakonan, saya sudah terbiasa menjalani rutin bersama senior iaitu, makan bersama ketika di set. Dahulu, kita tiada media sosial. Hubungan itu lebih kuat.
“Pada saya, kerja ini merupakan satu ibadah. Jadi, bila dapat eratkan silaturahim, itu juga rezeki buat kita. Bila datang ke set, ambil la peluang bergaul dengan semua orang.
“Tiada istillah memilih kawan ketika di set. Saya boleh duduk dengan abang-abang yang buat air, lightingman dan sesiapa sahaja. Tanpa mereka, sesebuah produksi itu tidak akan berjalan dengan bagus,” katanya lagi.
Ditanya adakah sikap seperti ini yang membuatkan namanya kekal relavan sehingga hari ini, Elizad akui bersyukur kerana dia didik dengan keras sewaktu awal kemunculan di dalam industri seni.
“Saya merasakan diri ini masih kecil. Mungkin sewaktu saya mula-mula masuk industri, saya dididik dengan pelakon-pelakon senior yang bagi saya agak garang seperti Eman Manan.
“Namun, bila kita pandai bawa diri, mereka ini bukan nak tunjuk garang tapi mereka nak tunjukkan bahawa mereka ini berdisiplin.
“Bila datang ke set, apa yang kita kena tunjukkan adalah bakat. Jadi, belajarlah. Jangan disebabkan ketika ini kita ada nama, kita rasa diri ini hebat.
“Setiap pelakon ini ada cara dan ilmu mereka, ambil peluang untuk belajar,” akhirinya.
Terdahulu, Elizad bakal muncul menerusi drama terbaharu yang berjudul Berbahagi Suami yang akan ditayangkan di saluran Astro Prima tidak lama lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.