Honor 200 ialah telefon pintar serba boleh dengan persediaan kamera yang menawarkan banyak pilihan teknologi pengimejan yang menarik. Misalnya seperti sistem kamera hasil kerjasama Harcourt dan teknologi dwi OIS + EIS untuk menstabilkan lensa kamera semasa rakaman imej atau video.
Kini Honor 300 pula dijadualkan akan tiba dalam masa terdekat di mana lebih banyak hal yang menarik boleh diharapkan melaluinya. Setakat ini dapat dipastikan bahawa Honor 300 akan terdiri dengan model standard dan pro di samping laman daftar minat turut telah dibuka di China untuk pengguna yang berminat untuk berbuat demikian.
Menyentuh aspek kemasan, kedua-duanya boleh didatangkan dalam beberapa pilihan warna yang termasuk ungu dan emas. Selain itu mempunyai bonggol kamera belakang yang direka semula dengan saiz lebih besar bersama perincian seakan logam yang menghiasi sekelilingnya. Turut jelas kelihatan daripada panel belakang ialah penjenamaan Honor dalam kedudukan yang sama seperti kebanyakan peranti sedia ada. Panel hadapan pula menyokong lubang kamera berbentuk pil di bahagian tengah.
Bagaimanapun persoalan yang timbul adakah benar terdapat juga versi Ultra kelak? Perkara ini mula menjadi persoalan apabila tular gambar yang menunjukkan tetapan untuk Honor 300 Ultra yang dikuasai dengan pelancar baharu MagicOS 9.0. Sekiranya benar peranti itu benar-benar wujud sudah tentulah menjadi pelancaran yang menarik. Penggunaan nama Ultra itu sendiri jelas memberi gambaran Honor boleh menyediakan sesuatu yang menarik melaluinya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.