ASWARA pentaskan teater Merong Mahawangsa sempena ulangtahun ke 30, himpun lebih 100 bakat alumni. Tertubuhnya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah berjaya melahirkan ramai insan seni berbakat besar yang mewarnai industri seni hari ini.
Ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ASWARA telah berkembang menjadi institusi terkemuka yang melahirkan bakat seni dan kreatif, selain berperanan sebagai ‘penjaga’ khazanah budaya negara.
ASWARA Pentaskan Teater Merong Mahawangsa Sempena Ulangtahun Ke-30
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 penubuhannya, ASWARA mempersembahkan kebangkitan semula Sakti Merong Mahawangsa, sebuah epik legenda
yang menjanjikan sejarah baharu dalam dunia seni teater Malaysia. Ia menggabungkan lebih 100 bakat terdiri dari alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA.
Pementasan ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi sebuah perjalanan penuh makna untuk mengangkat nilai sejarah, seni budaya dan identiti bangsa yang semakin terhakis.
Kisah epik perjuangan Merong Mahawangsa, seorang pahlawan yang dikaitkan dengan asal-usul kerajaan Kedah Tua (dahulunya dikenali sebagai Kedah Zamin Turan). Ia memaparkan perjalanan seorang pahlawan gagah bernama Merong Mahawangsa yang diceritakan memiliki kehebatan luar biasa sebagai pemimpin, pahlawan, dan diplomat. Walaupun kisah ini penuh dengan elemen mitos dan keajaiban, ia juga mencerminkan nilai keberanian, kebijaksanaan, dan semangat cinta kepada tanah air.
Merong Mahawangsa dikatakan berasal dari Rom, seorang ketua armada yang dihantar untuk mengiringi putera Rom yang ingin berkahwin dengan puteri China. Dalam perjalanan ke China, armada Merong Mahawangsa diserang oleh garuda, makhluk mitos yang dipercayai menghuni langit dan laut. Serangan garuda itu memaksa kapal-kapal mereka terkandas di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Kedah.
Salah satu kisah utama dalam hikayat ini ialah pertembungan antara Merong Mahawangsa dengan garuda. Merong Mahawangsa tidak gentar dengan ancaman makhluk mitos ini dan memimpin pasukannya dengan berani. Melalui kebijaksanaan dan kekuatannya, dia berjaya mengalahkan garuda, menjadikan dirinya simbol kekuatan manusia dalam menghadapi rintangan besar.
Dalam pementasan ini, pelakon-pelakon muda ASWARA membawakan watak ikonik seperti Merong Mahawangsa, garuda, dan pemimpin-pemimpin empayar dengan penuh karisma. Lakonan mereka yang bertenaga menjadi simbol semangat generasi baharu yang ingin membawa seni ke tahap lebih tinggi.
Setiap adegan, dari babak pertempuran hingga adegan penuh emosi, menunjukkan kemahiran tinggi dalam bidang lakonan, muzik, dan tari – bukti nyata bahawa ASWARA telah berjaya mencipta platform terbaik untuk pelajarnya.
Menampilkan lebih 100 bakat termasuk nama-nama terkenal seperti Najua P. Ramlee, Hairi
Safwan, Fadhli Masoot, Aris Kadir, Fiza Thomas, Ezdianie Hayatie, Saiful Wazien, Amirul
Hakim, dan Reza Mohamed, muzikal ini menjanjikan persembahan berskala besar dan
berimpak tinggi.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :– Berhabis RM500K, Hafiz Mahamad Arahkan Filem Pendek Misi Ainaa Pula!
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.