Casio Malaysia memperkenalkan model EDIFICE ECB-2000HR baharu dengan kerjasama Honda Racing Corporation (HRC). Model ini menggabungkan tiga warna utama iaitu merah, biru, dan putih yang melambangkan semangat perlumbaan Honda. Pada masa sama mempunyai reka bentuk khusus yang bukan sahaja mencerminkan keindahan binaan tetapi juga melambangkan nilai yang telah diwarisi dari rangkaian yang sama.
Hasil penelitian secara keseluruhan menunjukkan bahawa gentian karbon digunakan pada bezel. Sementara itu kerangka pula diperbuat daripada bahan komposit bertetulang gentian karbon yang menggunakan resin polimer untuk ketahanan terbaik. Turut disertakan adalah tali yang terhasil daripada fabrik sintetik Alcantara yang tekstur lembut, tahan lama dan mewah. Diikuti dengan penutup belakang logam yang menampilkan logo HRC dan EDIFICE bersama pakej khas disertakan.
Menyentuh aspek spesifikasi, jam tangan ini boleh disambungkan ke telefon pintar (Smartphone Link) melalui Bluetooth, dan apabila disambungkan ke aplikasi Casio Watches khusus masa dunia turut boleh ditetapkan secara automatik. Ia juga mempunyai fungsi Tough Solar berupa teknologi pengecasan yang menggunakan cahaya matahari atau sumber cahaya lain untuk menggantikan bateri.
Selain itu ciri-ciri standard lain seperti Super Illuminator (LED berganda berkecerahan tinggi) untuk kebolehan melihat jam tangan dalam keadaan yang gelap, kalis air 10ATM, jam randik 1/100 saat, penggera harian dan lain-lain. Harga jualan rasmi adalah RM2,199 dengan ketersediaan melalui mana-mana pengedar sah Casio Malaysia sama ada secara dalam atau luar talian.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.