Seorang lelaki telah ditahan kerana disyaki melakukan penderaan terhadap kucing di sebuah kediaman di Jalan Klang Lama, di sini, pada Sabtu.
BERITA TRENDING: Kes Lelaki Ikat Leher Kucing, Heret Paksa Dirujuk Jabatan Veterinar – Polis
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah terkesan satu rakaman video tular, berdurasi sembilan saat, dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok pada jam 5.26 petang.
“Rakaman video tersebut memaparkan seorang lelaki menganiaya seekor kucing dengan menariknya menggunakan tali yang diikat di leher haiwan itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rusdi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, telah menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di kediamannya pada jam 6.10 petang, Ahad.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah ke atas suspek akan dipohon untuk melengkapkan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 serta mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Pada Sabtu, media melaporkan polis menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada seorang individu yang melihat video tular berkenaan.
Pengadu melihat video berkenaan yang memaparkan seorang individu tidak dikenali melakukan penderaan terhadap seekor kucing dengan cara menarik tali yang diikat pada leher kucing berkenaan.
Video terbabit turut memaparkan satu alamat dipercayai lokasi kejadian di bahagian ruangan komen.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.