Ia tidak dinafikan bahawa teknologi kecerdasan buatan semakin pesat dibangunkan dan kini sedang dimanfaatkan dalam pelbagai jenis sektor dan industri. Walaupun begitu, salah satu isu paling ketara yang masih belum diselesaikan ialah berkaitan masalah halusinasi, ataupun apabila kecerdasan buatan “mencipta” maklumat sendiri yang tidak tepat dan tidak bersandarkan mana-mana data benar.
Jensen Huang, CEO NVIDIA mengatakan bahawa untuk mengatasi isu halusinasi ini, syarikat-syarikat pembangun teknologi AI akan memerlukan dua benda, iaitu masa dan juga kuasa pemprosesan yang lebih tinggi.
Beliau menjangkakan bahawa buat masa ini, isu halusinasi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan sistem AI yang dibina sekarang masih lagi sedang melalui fasa “pembelajaran” yang mana terdapat banyak jurang maklumat yang perlu dipenuhkan, dan sehingga jurang ini dipenuhi dengan maklumat yang benar, isu halusinasi ini akan terus berlaku.
Kebolehan komputasi yang lebih berkuasa juga diperlukan untuk mengurangkan kebarangkalian halusinasi berlaku. Dengan kuasa pemprosesan yang lebih berkuasa, sistem AI boleh mencari dan memproses maklumat dengan lebih cepat dan cekap.
Jensen Huang mengatakan bahawa kitaran pembelajaran sistem AI terdiri daripada tiga bahagian. Pertama ialah pra-latihan, dimana sistem AI tersebut mengambil masuk pelbagai data dan maklumat untuk mempelajarinya. Kedua ialah pasca-latihan, dimana sistem tersebut akan menggunakan data dan maklumat yang dilatihkan untuk mendalami lagi pengetahuannya melalui maklum balas manusia, pengukuhan menggunakan AI, penjanaan data sintetik dan sebagainya.
Fasa terakhir ialah apa yang dipanggil Test Time Scaling, dimana sistem kecerdasan buatan akan bermula untuk “berfikir” dengan sendiri. Dalam fasa ini, sistem AI akan mula melihat sebuah masalah dalam beberapa bahagian berbeza dan cuba untuk menyelesaikannya dengan mencuba beberapa simulasi penyelesaian.
Perkara ini berbeza dengan sistem AI sedia ada yang boleh memberi anda jawapan kepada soalan-soalan yang sudahpun ada jawapannya, dan ini adalah masa hadapan teknologi kecerdasan buatan yang sedang cuba dibina sekarang.
Oleh kerana inilah Jensen mengatakan bahawa ketika dimana solusi yang ditawarkan teknologi kecerdasan buatan masih lagi dalam fasa latihan dan pembangunan, dimana banyak masa dan kuasa perkomputeran masih lagi diperlukan.
Isu berkenaan halusinasi data oleh sistem kecerdasan buatan ini nampaknya sesuatu yang disedari oleh ramai orang didalam industri AI. Jika kata-kata CEO NVIDIA adalah benar, pembangunan teknologi ini nampaknya perlu diteruskan lagi jika kita benar-benar mahukan kecerdasan buatan untuk dijadikan sesuatu yang dapat dimanfaatkan oleh semua orang.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.