PH sasar ‘tawan’ Terengganu pada PRU16

Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyasarkan untuk menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memacu perubahan ke arah lebih baik. Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Hasbie

KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyasarkan untuk menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memacu perubahan ke arah lebih baik.

Pengerusi baharunya, Mohd Hasbie Muda berkata, gabungan parti politik itu sedang memperkukuh struktur organisasi di peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat Parlimen.

“Bagi PRU16, kami sasar untuk menang dan mentadbir kerajaan negeri Terengganu bersama-sama dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN), bergantung keputusan di peringkat Majlis Presiden.

“Kita akan meneruskan dengan rapat umum dalam kalangan kepimpinan PH di peringkat negeri dan juga Parlimen untuk memperkemaskan gerak kerja di setiap peringkat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Isnin.

Mohd Hasbie berkata demikian ketika diminta mengulas sasaran PH Terengganu selepas pelantikan beliau sebagai pengerusi baharu gabungan itu bagi menggantikan kepimpinan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Menurut Mohd Hasbie, perkara melibatkan agihan kerusi pula akan diselesaikan terlebih dahulu di peringkat rakan komponen parti itu iaitu PH bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Apabila sudah selesai di peringkat PH, barulah kita akan meneruskan bersama-sama dengan rakan-rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Sabtu lalu, Majlis Pimpinan PH Terengganu sebulat suara bersetuju melantik Mohd Hasbie yang juga Ketua Pemuda Amanah Nasional sebagai Pengerusi PH Terengganu baharu bagi sesi 2024-2025.

Mesyuarat pemilihan PH Negeri Terengganu itu dihadiri tiga parti komponen iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Selain itu, Ahmad Nazri Mohd Yusof dari PKR dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PH negeri; Pengerusi DAP negeri, Cheong Siow Foon dilantik ke jawatan sama bersama Ahmad Nazri.

Naib Pengerusinya pula disandang Mohd Zukeri Embong (Amanah); Datuk Dr Mohd Johari Mohamad (PKR); dan Ng Chai Hing (DAP).

Jawatan Setiausaha PH Terengganu disandang oleh Mohd Ridhuan Embong; Penolong Setiausaha, Nurul Adeeba Ismail (PKR) dan Ong Vel Leng (DAP).

Sementara itu, jawatan Bendahari dipegang oleh Dr Lee Lai Hsiang (DAP).


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply