Projek Agropolis Negeri Sembilan catat kemajuan memberansangkan

Jalaluddin ketika menjawab soalan lisan pada persidangan DUN pada Isnin.

SEREMBAN – Pembangunan Agropolis di Negeri Sembilan yang merupakan teras kedua dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan telah mencatat kemajuan yang memberangsangkan.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, projek ini berjaya membangunkan sebanyak 1,431 hektar kawasan dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM16.496 juta melibatkan seramai 1,590 penerima manfaat sejak 2021 hingga September lalu.

“Daripada jumlah ini, sumbangan kita dalam menfokuskan kawasan ini adalah sebanyak 58 peratus menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong rancangan strategik ini.

“Pelaksanaan projek Agropolis ini turut memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Negeri Sembilan melalui pengeluaran tanaman makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Razi Mohd Ali (BN-Sungai Lui) mengenai pencapaian pembangunan pertanian di kawsan terlibat di negeri ini pada Persidangan ketiga (Belanjawan) Penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-15 pada Isnin.

Katanya, bagi tempoh berkenaan projek ini telah menyumbang sebanyak 212,617 tan metrik hasil tanaman makanan termasuk buahan, sayuran, tanaman industri berpotensi dan padi dengan bernilai RM815.94 juta.

“Ia melibatkan kawasan-kawasan seperti Jempol, Tampin, Rembau, dan Kuala Pilah, yang mana projek ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan, tetapi juga membantu dalam pembangunan komuniti desa dengan menghubungkan infrastruktur ekonomi yang lebih mantap,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam Belanjawan Tahun 2025, kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan sebanyak RM8.63 juta untuk melaksanakan lapan inisiatif keterjaminan makanan termasuk subsektor tanaman dan ternakan.

“Melangkah ke hadapan, pembangunan Agropolis akan diperkukuhkan melalui penyediaan dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Proses penyediaan ini akan melibatkan pandangan dan cadangan daripada pelbagai pemegang taruh untuk memastikan keberkesanan strategi yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Razi mengenai pendekatan atau strategi untuk menjadikan Agropolis ini sebagai peluang kepada pelbagai pemegang taruh, termasuk para belia yang berhijrah ke luar bandar, pemain industri yang ingin meneroka kawasan baharu, dan rantaian hiliran yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS).


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply