Makruh Pacak Payung Atas Kubur, Kurafat Jika Percaya Boleh Teduhkan Jenazah

Kita mungkin biasa melihat di kawasan perkuburan ada yang meletakkan atau memacakkan payung di atas pusara terutama sekali untuk kubur baru.

Ia menjadi sebahagian adat sesetengah tempat dengan alasan untuk mengelakkan haiwan mengorek tanah kubur.

Malah ada juga yang mempercayai meletakkan payung ini dapat meneduhkan jenazah di dalam kubur.

Namun perlu diketahui, perbuatan memacak payung di atas kubur ini adalah perkara makruh menurut mazhab al Syafi’i. Begitu juga dengan meletakkan khemah atau bumbung di atas pusara.

Perkara ini dikongsi dalam laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan AL-KAFI #2008: HUKUM MEMACAK PAYUNG DI  ATAS KUBUR.

Hukum makruh ini adalah berdasarkan larangan meletakkan payung di atas kubur, kubah, bumbung dan seumpamanya oleh Saidina Umar RA, yang mengarahkan supaya memindahkannya.

Hal ini kerana teduhan payung dan seumpamanya tidak dapat memberi apa-apa faedah ke atas si mati di dalam kubur, melainkan amalannya sendiri yang akan menyelamatkannya.

Walau bagaimana pun menurut Imam al-Syarwani, sekiranya payung atau teduhan tersebut digunakan dengan tujuan yang betul seperti teduhan untuk orang ramai dari terik matahari maka ia diharuskan.

Dalam pada itu mempercayai bahawa dengan meletakkan payung di atas pusara dapat meneduhkan jenazah di dalamnya boleh dikategorikan sebagai satu kepercayaan yang khurafat.

Khurafat adalah kepercayaan yang karut, dongeng dan tahyul. Menurut Ibn Manzur khurafat ialah:

والخُرافةُ: الحديثُ المُسْتَمْلَحُ مِنَ الكذِبِ.

Maksudnya: “Khufarat ialah kisah-kisah menarik yang disulami dengan perkara-perkara dusta”.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa, hukum meletak payung di atas pusara dengan hanya mengikut adat semata-mata adalah makruh dan perbuatan tersebut termasuk dalam perkara yang bidaah dan sia-sia.

Manakala  mempercayai dengan perbuatan tersebut akan dapat memayungi jenazah di dalam pusara adalah salah satu bentuk khurafat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply