PIL kuda sering kali diambil oleh golongan muda, terutamanya mereka yang terlibat dalam kehidupan sosial yang melibatkan parti atau acara hiburan.
Ketersediaan di pasaran gelap dan harganya yang kadang-kadang lebih murah berbanding dadah lain membuatkan pil kuda lebih mudah diakses golongan belia.
Selain itu, ada kalanya tekanan rakan sebaya atau keinginan untuk berfoya-foya dan merasai pengalaman baru menyebabkan individu tergoda untuk mencuba dadah tersebut.
Dalam masyarakat yang semakin terdedah kepada pengaruh media sosial dan budaya hiburan, penggunaan dadah seperti pil kuda seolah-olah menjadi simbol status atau cara untuk berhibur.
Penggunaan pil kuda tidak hanya menjejaskan individu, tetapi juga memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Isu ketagihan, kecederaan, kematian dan peningkatan bebanan terhadap sistem kesihatan adalah antara impak yang ditanggung masyarakat akibat penyalahgunaan dadah terbabit.
Selain itu, keluarga pengguna juga terpaksa menghadapi tekanan emosi dan kewangan akibat masalah ketagihan yang sukar diatasi.
Terdapat juga kes di mana golongan yang ketagihan pil kuda terlibat dalam jenayah atau aktiviti haram untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah sekali gus memberi kesan buruk kepada keselamatan masyarakat.
Justeru, pencegahan penggunaan pil kuda sebenarnya memerlukan usaha yang bersepadu antara kerajaan, masyarakat dan individu itu sendiri.
Pendidikan atau pendedahan mengenai bahaya penggunaan pil kuda perlu dimulakan sejak awal di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan lain.
Selain itu, kempen kesedaran awam mengenai risiko penyalahgunaan dadah perlu diperhebatkan kerajaan agar lebih ramai memahami akibat atau kesan buruk yang boleh timbul akibat penggunaan pil kuda.
Kerajaan juga perlu memperkuatkan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap penyeludupan dan pengedaran pil kuda.
Selain itu, program rehabilitasi bagi individu yang telah ketagih juga perlu diperbanyakkan agar mereka dapat diberi peluang untuk pulih dan kembali kepada kehidupan normal.
Dengan kesedaran, pendidikan dan usaha bersama daripada semua pihak akan mengurangkan penggunaan pil kuda dan memastikan masa depan yang lebih sihat serta selamat terutama bagi golongan muda negara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.